Pada 4-6 Jun lepas teman sekeluarga telah berkampung di Pulau Perhentian Terengganu yan di kenali sebagai Taman Laut. Sepanjang menjelajah pulau berkenaan kami dibawa ke tujuh lokasi tempat melihat habitat hidupan laut dalam keindahan batu karang yang menakjubkan. Di antara hidupan yang dapat kami perhatikan adalah Namo, Turtle, Silver Pomfret (ikan bawal), Astropyga radiata (landak laut), jerung dan lain-lain hidupan. Yang menariknya adalah kejinakan penyu di dalam air berenang-renang bersama-sama pengunjung di pulau berkenaan.
Baca selanjutnya ...
Khamis, Jun 12, 2014
Rabu, Mei 21, 2014
Kursus-kursus KIK Sepanjang Jan - Mei 2014
Falsafah KIK adalah untuk membina kumpulan di tempat kerja
yang bekerjasama untuk menyelesaikan masalah atau membuat penambahbaikan di
tempat kerja untuk menjadi lebih baik dan prestasi tinggi. KIK mendidik
ahli mengamalkan alat kualiti dalam meningkatkan prestasi diri, kumpulan dan
organisasi mereka.
Pada 2013 adalah tahun ke 30 penubuhan KMK@KIK di Malaysia.
Berbagai perubahan secara dinamik telah berlaku, baik dari proses KIK,
penggunaan tool dan juga pengadilan dalam konvensyen. Peubahan demi perubahan
dilakukan kerana harapan pihak kerajaan agar falsafah KIK dapat dihayati dan
keberkesanan perlaksanaan dapat dirasai oleh pelanggan serta pengiktirafan
kepada kumpulan yang terbaik dapat diberi. Semoga terus berjaya.
Sebahagian dari koleksi kursus yang telah berjaya dikendalikan sepanjang Okt 2013 hingga Mei 2014.
Sabtu, Mei 17, 2014
Kursus DSKP Teknologi Maklumat Tahun 5 KSSR Sepanjang Mei-Ogos 2014
Pada 2014 telah diperkenalkan subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi kepada pelajar Tahun 4. Pada 2015, silibus baru juga telah dirangka untuk penyebaran kerana pada tahun tersebut pelajar Tahun 5 akan menyambung pelajaran mereka untuk subjek tersebut. Rajah di bawah menunjukkan skop pelajaran TMK pada tahun 4 hingga 6.
Kursus Pengurusan Kreatif Kepada Pengetua dan Guru Besar
Sebagai pengurus sekolah yang berkesan Halliger telah
melihat aspek-aspek penting yang harus dimainkan oleh pengurus sekolah. Kepimpinan
Instruksional menurut Hallinger(2000) meliputi tiga aspek
•
Matlamat
•
Merangka matlamat
•
Menjelas matlamat
•
Pengurusan Program
•
Menyelia dan menilai PdP
•
Menyelaras kurikulum
•
Memantau perkembangan pelajar
•
Iklim Sekolah
•
Masa PdP
•
Sentiasa kelihatan
•
Insentif guru
•
Galak perkembangan professional
•
Insentif murid
Dalam menghadapai masalah atau menambahbaik sistem sedia ada
dengan berkesan, pengurusan sekolah harus melaksanakan tanggungjawab mereka
secara kreatif. Alhamdulillah, teman telah mengadakan bengkel kepada pengurus
sekolah dalam memperkenalkan beberapa tools kualiti dalam menangani
permasalahan dengan berkesan.
Kursus-kursus Inovasi Sepanjang Jan - Mei 2014
Inovasi adalah aktiviti untuk menyelesaikan masalah atau membuat penambahbaikan di tempat kerja untuk menjadi lebih baik dan prestasi tinggi. Inovasi mendidik individu mengamalkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam menghasilkan pengubahsuaian dan ciptaan baru alat dan prosedur kerja serta perkhidmatan dalam meningkatkan prestasi diri, kumpulan dan organisasi mereka.
Berbagai perubahan secara dinamik telah berlaku dalam kategori dan cara pengadilan dalam pertandingan inovasi. Peubahan demi perubahan dilakukan kerana harapan pihak kerajaan agar budaya kreatif dan inovatif dapat dihayati dan keberkesanan perlaksanaan dapat dirasai oleh pelanggan serta pengiktirafan kepada kumpulan yang terbaik dapat diberi. Semoga terus berjaya.
Sebahagian dari koleksi kursus yang telah berjaya dikendalikan sepanjang Okt 2013 hingga Mei 2014.
Khamis, Januari 02, 2014
Menjejaki Lokasi Penurunan Wahyu Pertama 'Iqrak' di Gua Hirak
Jumaat 20 Disember 2013 tepat pukul 9 malam, pendaki yang telah mendaftar diri untuk mendaki Jabal Nur di kehendaki berkumpul di lobi Hotel Hira', Mekah. Seramai lebih kurang 20 orang telah nekad untuk melihat sendiri tempat yang penuh sejarah di mana wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui Jibrail. Untuk mendaki ke jabal ini dikehendaki membuat bayaran 25 Riyal. Teman bersama anak teman yang berumur 16 tahun telah mendaftar untuk ke puncak bukit tersebut bagi menyelami keperitan rasulullah mendaki bukit tersebut.
Perjalanan dari hotel kami ke Jabal Nur mengambil masa lebih kurang 20 minit. Sampai di kawasan bukit tersebut, van sedia menunggu untuk ke kaki bukit berkenaan. Menaiki van tersebut seperti roller coaster kerana pemandu yang membawa kami memacu dengan laju dalam keadaan jalan yang sempit dan bercerun lebih kurang 30 darjah kecuramannya serta dalam keadaan malam yang gelap.
Pada malam tersebut, tiada rombongan lain yang datang kecuali kumpulan kami sahaja. Alhamdulillah, ini mungkin kerana kami adalah rombongan umrah yang dikira terawal mendapat Visa setelah tamat musim haji. Oleh itu, untuk memanjat ke bukit tersebut, amat selesa dari kesesakan pelawat-pelawat.
| Pemandangan dari pertengahan bukit |
| Lagi 115 meter ke Gua |
Setelah mendaki 15 minit, teman rasa lutut dah bergoyang, badan rasa nak tumbang. Inilah bahana kurang bersenam dan berjoging. Lantas teman duduk sebentar. Bila teman bertanya kepada anak teruna teman tu sama ada letih, beliau dengan selamba menyatakan tidak. Begitu lah perbezaan antara tenaga orang muda dan orang seusia teman. Walaupun lutut bergoncang, semangat masih kental mahu ke puncak. Dalam keletihan ini menyebabkan teman terlintas dalam fikiran bagaimana nabi dan isterinya Khadijah mendaki ke bukit ini yang terletak 2 batu dari Mekah ini. Sudah tentu mereka bukan orang yang calang-calang gagahnya dan tidak lemah fizikal dan mental. Waktu nabi menerima wahyu pertama (Malam 17 Ramadan - 10 Ogos, 610 M) pada umur 40 tahun 6 bulan 12 hari, Siti Khadijah telah berumur 55 tahun, tetapi mampu mendaki bukit tersebut untuk menghantar makanan kepada kekasih hatinya itu. Hmm.. (Sekarang bukit tersebut ada lebih kurang 600 anak tangga. Dibuat untuk memudahkan pengunjung..kalau tiada anak-anak tangga tersebut, mungkin memakan masa yang lebih lama untuk sampai ke gua yang setinggi 270 meter = 890 kaki). Kalau seorang lelaki, bukit semacam itu pun dah mengalah, teman rasa le sukar nak membawa satu misi yang besar.
Persediaan yang perlu untuk mendaki adalah: Untuk keselamatan kaki, selipar pun ok, tetapi kalu selipar putus, memang naya. Lebih baik guna kasut joging supaya lebih selesa dan selamat. Baju tebal pun tak perlu kerana panas apabila berpeluh semasa mendaki. Bawa la air minum secukupnya dan air untuk berwudhu, itu pun kalu berhajat hendak solat sunat di gua Hira atau dipuncak bukit. Jika ada lampu picit, elok la dibawa supaya dapat menyuluh anak tangga dan pintu gua. Walau pun nama Jabal Nur tapi kalau tiada cahaya bulan, merbahaya juga jika mendaki waktu malam.
Alhamdulillah. Dengan kesungguhan dan demi kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, jam 11.15 malam sampai juga teman di puncak. Peluh menitis, air mineral habis sebotol ketika dipuncak bagaikan hilang rasa penat apabila destinasi yang diimpikan telah tercapai. Moga Gua Hira bukti kecintaan teman kepada Rasulullah s.a.w.
| Gua Hirak yang seluas satu sejadah |
| Lubang gua yang terus ke arah Kiblat di Mekah |
Sesampai di Gua Hirak, teman sempat bersolat hajat dan bersujud syukur serta membuat refleksi dan muhasabah tentang jerih perit mendaki bukit tersebut. Kekaguman teman kepada kekuatan dan saiz badan rasulullah untuk sampai ke gua berkenaan. Kenapa teman kata saiz badan… kerana untuk ke gua tersebut, jika orang yang bersaiz ‘Big Show’ mungkin sukar untuk sampai ke gua berkenaan kerana harus melepasi dan melalui satu lubang yang agak sempit. Rasulullah s.a.w yang sebelum mendapat wahyu telah bertahanuth di gua yang memerlukan kekuatan fizikal, mental dan spritual. Pertemuannya dengan Jibrail di Gua Hirak ini bagi menjadi titik mula penyampaian risalah suci dengan perkataan mulia iaitu ‘Iqrak’. Bermula dari gua inilah risalah Islam disebar sehingga teman beriman kepada Allah s.w.t dan berterusan sehingga hari kiamat nanti.
Selasa, Disember 31, 2013
Kekasih Gelap Ku di Madinah Munawarah
Pada 13 Dis 2013 pertama kali teman menjejak kaki di Kota Cahaya. Masuk sahaja roda bas ke kota itu seuntai doa dipanjatkan memohon keberkahan. Sejurus memasuki Kota Cahaya itu, gemerlapan Masjid Nabawi tersirna. Memasuki masjid yg mulia dgn iringan doa, melalui Bab AsSalam amat mengujakan.
Masjid ini mempunyai satu tempat istimewa yang dinamakan 'Raudah' membuatkan hati teman terpaut. Tempat itu bukan sahaja sebagai Taman syurga malah teristimewa adalah berhampiran dengan manusia agung bersemadi. Sejak pertama kali menjejak ke tempat tersebut, hati teman amat rindu sujud di situ. Alhamdulillah sejak hari itu dan selama 3 malam sepanjang berada di Kota Cahaya, teman dapat melabuhkan jiwa raga di karpet hijau tempat mustajab hampir 10 jam. Berada di antara mimbar dan persemadian 'kekasih gelapku' sepanjang berada di kota itu, menjadikan jiwa teman tenang. Syukur AlhamdulilLah Tuhan mengizinkan teman duduk setiap malam di 'Taman Mu'.
![]() |
| Bersama Anak di Raudhah |
![]() |
| Karpet Hijau Raudhah |
![]() |
| Maqam Rasul SAW |
Dalam pada itu, teringat teman kisah Imam Ghazali ketika ditanya tentang orang yang ada peluang menjejaki Kota Cahaya tetapi tidak mahu bersapa 'salam' dengan 'kekasih gelap agung'. Maka dijawap oleh Imam Ghazali bukan mereka yang tidak mahu berjumpa 'kekasih agung' tetapi mungkin 'kekasih agung' itu yang tidak mahu berjumpa mereka..... hmm. Menurut hadis, sesiapa berziarah ke maqam nabi, wajib memperoleh syafaatnya nanti. Syukur Alhamdulillah kerana setiap hari teman dapat bersapa 'salam' kepada mu.
Teman dikira bernasib baik kerana lawatan teman dikira satu timing yang tepat. Ini kerana selain jatuh pada musim sejuk, dan kota ini masih kurang pengunjung disebabkan VISA umrah baru dibuka selepas musim haji berakhir.
![]() |
| Di Hadapan Pintu Utama |
![]() |
| Suasana di dalam Masjid |
![]() |
| Ruang Raudhah yang boleh dipilih mengikut keselesaan |
![]() |
| Saf Hadapan Masjid |
Satu tips yang teman amal kan sepanjang 12 hari adalah tidur dan jaga mengikut waktu di Malaysia. Maksudnya walaupun waktu tempatan di Kota itu pukul 3.00 pagi, kita perlu bangun kerana di Malaysia dah pukul 8 pagi. Oleh itu, ketika orang-orang di kota itu diulik mimpi, teman telah berada di Raudhah.
![]() |
| Waktu solat di Madinah |
Contoh jam di hotel menunjukkan waktu subuh masuk pada pukul 5.31 pagi, sebenarnya waktu Malaysia adalah 10.31 pagi. Oleh itu tidak masalah kalau kita pergi ke masjid pada pukul 3.00 pagi (waktu Madinah) kerana waktu Malaysia dah pukul 8.00 pagi. Jadi kita perlu tidur selewat-lewatnya 9.00 malam (waktu madinah) kerana waktu Malaysia dah pukul 2.00 pagi.
Sepanjang 3 malam di 'Taman Mu', kupanjatkan pujian dan doa kepada Mu. Kepada sanak saudara serta sahabat handai yang telah mendoakan pemergian teman secara langsung mahupun melalui Facebook, dalam setiap solat sunat dan doa, teman tidak lupa turut mendoakan kebahagiaan dunia akhirat buat kalian.
Buat arwah-arwah yang telah banyak berjasa dalam jejak hidup teman sejak kecil (spt Tok Timah, Long, Andak, Chu, Uda Moon, Uda Niah dan teristimewa Anjang Khairudin) setiap hari teman sedekahkan bacaan Yasin dan Tahalil di Raudah. Moga roh-roh dicucuri rahmatNya.
Pesanan: Duduk di raudhah dalam satu jangka masa yang lama banyak cabaran. Cabaran paling getir adalah KENTUT. Oleh itu jaga lah makan minum. Doalah banyak-banyak kepada Allah agar tidak diganggu oleh syaitan dengan angin tersebut. Sekali kita bangun dari raudhah itu, orang lain akan mengisinya.
Gambaran Animasi Masjidil Nabawi
Jumaat, Oktober 04, 2013
Fasilitator Kursus Komputer Bersama Jabatan Agama Islam Perak
Pada 3 hingga 4 Oktober teman berkesempatan bersama-sama dengan kakitangan Bahagan Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Perak dalam kursus berkaitan pembinaan pangkalan data dan analisis data. Jemputan untuk memberi latihan tersebut teman terima kerana teman mengibaratkan kehadiran teman seperti 'sireh pulang ke gagang'. Ini kerana teman pernah menjadi keluarga Majlis Agama Islam Perak pada suatu ketika dahulu. Melihat akan kesungguhan dan iltizam para peserta dalam kursus berkenaan, ini memberikan petunjuk bahawa kecemerlangan pengurusan organisasi ini dapat dipertingkatkan.
Dalam ucapan pembukaan kepada peserta kursus, teman telah mengemukakan konsep 'cloud computing' yang sedang hebat disuburkan dengan perkembangan peranti-peranti mobil yang canggih. Oleh itu, cara bekerja terutama dalam pengurusan data dan maklumat telah berubah sesuai dengan generasi Y.
Dalam kursus berkenaan, teman telah memperkenalkan kepada para peserta membuat analisis data menggunakan formula dalam Excel dan Visual Basic, membina pangkalan data secara rangkaian setempat dan secara rangkaian luas. Oleh kerana tempoh kursus yang singkat, dengan kesungguhan dan keazaman yang tinggi, para peserta berjaya mengharungi cabaran walaupun mereka dari latar belakang yang berbagai dari aspek pengetahuan komputer. Syabas kepada semua yang terlibat.
| Bersama Pengarah Kolej Komuniti Batu Gajah dan Peserta Kursus |
Ahad, September 22, 2013
Tips Temuduga Biasiswa
Ramai calon temuduga biasiswa PhD berharap mereka memperoleh tajaan untuk meneruskan pembelajaran mereka terutama dalam kalangan para pendidik di sekolah. Namun, kebanyakan mereka gagal mendapatkan kepercayaan pihak penaja untuk membiaya pengajian mereka walaupun telah hadir ke sesi temuduga sampai 9 kali.
Apakah faktor kegagalan mereka? Apa yang teman perhatikan, ada beberapa aspek yang perlu para calon mempersiapkan diri sebelum hadir ke sesi temuduga. Panel akan melihat dan menilai dari aspek kesediaan diri dan inisiatif calon tersebut untuk bergelar pelajar PhD. Oleh itu, calon perlu bersedia dengan kertas cadangan (proposal) kajian yang lengkap dengan masalah kajian dan tujuan kajian, kerangka teori, metodologi kajian, cadangan analisis data yang sistematik dan lengkap, tinjauan literatur dan rujukan yang telah dibuat mengikut format APA.
Di samping itu, pengetahuan calon tentang bidang yang dipohon akan dinilai. Calon bukan sahaja ditanya tentang bidang tersebut malah turut diuji tentang teori-teori yang berkaitan bidang kajian. Calon harus bijak menghubung kait teori dan isu semasa serta bidang tugas sekarang. Dengan kata lain, calon dapat berhujah tentang tesis kajian dari sudut keperluan masa kini dan masa hadapan.
Calon perlu mengemukakan bukti pengalaman dalam bidang, kelulusan akademik dan kelulusan tambahan yang berkaitan bidang yang dipohon. Dengan bukti yang kukuh serta dokumen sokongan yang teratur, menjadi faktor pemangkin untuk dipilih sebagai calon pilihan.
Di samping itu, calon yang hadir perlu menunjukkan jasa dan sumbangan mereka kepada perkhidmatan pendidikan sama ada di dalam mahupun di luar sekolah. Bukti dan dokumen sokongan amat penting bagi para calon untuk berhujah di hadapan para panel. Calon digalakkan menunjukkan bukti penulisan yang pernah dibuat sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri, kementerian, kebangsaaan mahupun antarabangsa.
Inisiatif mendaftar diri sebagai pelajar PhD persendirian tanpa tajaan di mana-mana universiti adalah amat digalakkan. Faktor ini menunjukkan calon telah bersedia dan telah memulakan pembelajaran. Oleh itu, para calon amat digalakkan mendaftar diri. Jika mereka gagal mendapat tajaan pun, perjuangan di bidang keilmuan tetap diteruskan dan berjalan. Tajaan bukan segala-galanya dalam penerusan pembelajaran.
Ahad, Ogos 18, 2013
Panel Hakim Pertandingan KIK Jabatan Pendaftaran Negara 2013
Pada 1 Ogos 2013 lepas, teman telah diberi peluang untuk menghakimi pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif peringkat Zon Tengah Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia. Sebanyak tiga kumpulan yang mewakili negeri Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan telah menyertai pertandingan tersebut. Dalam pertandingan tersebut Kumpulan dari Negeri Perak telah menjuarai pertandingan dengan tersebut. Kumpulan ini juga turut akan bertanding di peringkat Negeri Perak dalam Konvensyen KIK Anjuran Kerajaan Negeri Perak 2013.
Dalam pertandingan ini tiga projek yang menarik telah dikemukakan iaitu kaunter kad pengenalan eskpress, alat untuk mengambil memandu pemohon IC membetulkan posisi semasa mengambil gambar dan mobil kaunter.
Dalam pertandingan pada kali ini, kekuatan kumpulan KIK adalah dari segi penguasaan dari segi proses kerja KIK dan dokumen sokongan. Dari aspek persembahan kumpulan pula, semua kumpulan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan kerana menggunakan pelbagai strategi penyampaian. Namun dari segi kelemahan yang ketara adalah format surat menyurat serta carta perbatuan yang dikemukakan.
Pada keseluruhannya KIK di Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai kelas yang tersendiri dan berupaya mengungguli jabatan-jabatan kerajaan yang lain.
Baca selanjutnya ...
Dalam pertandingan ini tiga projek yang menarik telah dikemukakan iaitu kaunter kad pengenalan eskpress, alat untuk mengambil memandu pemohon IC membetulkan posisi semasa mengambil gambar dan mobil kaunter.
Dalam pertandingan pada kali ini, kekuatan kumpulan KIK adalah dari segi penguasaan dari segi proses kerja KIK dan dokumen sokongan. Dari aspek persembahan kumpulan pula, semua kumpulan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan kerana menggunakan pelbagai strategi penyampaian. Namun dari segi kelemahan yang ketara adalah format surat menyurat serta carta perbatuan yang dikemukakan.
Pada keseluruhannya KIK di Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai kelas yang tersendiri dan berupaya mengungguli jabatan-jabatan kerajaan yang lain.
![]() |
| Dari kiri Dr. Muniandy (Panel), teman, Pengarah JPNM Perak (Tn Hj Alias), Pengarah Selangor (Tn Hj Hazmin) dan Pengarah Wilayah (Hjh Norehan) |
![]() |
| Wakil Selangor |
![]() |
| Wakil Wilayah |
![]() |
| Wakil Perak |
Langgan:
Catatan (Atom)
















