Jika takut dilambung ombak Jangan berumah ditepi pantai,
Baca selanjutnya ...
Pepatah melayu telah lama mengajar kita; ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’, atau ‘kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga’. Kedua-dua pepatah lama ini memberikan satu nilaian yang tinggi terhadap pentingnya menjana dan mencerna minda yang positif sebelum kita melangkah ke satu-satu keputusan.
Jika kita ingin berumah di pantai, maka kita perlu buangkan perasaan takut dilambung ombak. Inilah yang dikatakan persiapan minda, persediaan minda untuk menerima hakikat bahawa jika kita membina rumah di tepi pantai, maka pasti akan datang musim tengkujuh yang membawa ombak besar dan air bah. Maka jika kita telah bersedia, maka apakah yang perlu dikhuatiri lagi.
Persiapan minda kita telah memberikan separuh daripada kekuatan yang diperlukan untuk berhadapan dengan ombak. Separuh lagi akan dipenuhi dengan ikhtiar, usaha dan perancangan rapi untuk menghadapi ombak tersebut. Mungkin dengan menyediakan perahu dan sampan, membina rumah yang tinggi tiangnya, atau rumah berakit yang bisa timbul di atas air.
Lihatlah betapa para ilmuan dahulu, datuk nenek kita telah lama mengajarkan mengenai minda positif ini. Maka menjadi tugas kita kini mencernakan kembali pengalaman dan pesanan nenek moyang kita ini, untuk diperbaharui dan diberi nafas baru.
Tetapi, jika risiko berumah di tepi pantai diketahui, persiapan minda, emosi dan jasmani diabai, bila musibah mendatang, air mata darah sekalipun tidak berguna. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudia tidak berguna. Jangan persalahkan orang lain atas kesilapan diri sendiri.