Sabtu, Mei 17, 2014

Kursus Pengurusan Kreatif Kepada Pengetua dan Guru Besar

Sebagai pengurus sekolah yang berkesan Halliger telah melihat aspek-aspek penting yang harus dimainkan oleh pengurus sekolah. Kepimpinan Instruksional menurut Hallinger(2000) meliputi tiga aspek
          Matlamat
          Merangka matlamat
          Menjelas matlamat
          Pengurusan Program
          Menyelia dan menilai PdP
          Menyelaras kurikulum
          Memantau perkembangan pelajar
          Iklim Sekolah
          Masa PdP
          Sentiasa kelihatan
          Insentif guru
          Galak perkembangan professional
          Insentif murid

Dalam menghadapai masalah atau menambahbaik sistem sedia ada dengan berkesan, pengurusan sekolah harus melaksanakan tanggungjawab mereka secara kreatif. Alhamdulillah, teman telah mengadakan bengkel kepada pengurus sekolah dalam memperkenalkan beberapa tools kualiti dalam menangani permasalahan dengan berkesan.


Baca selanjutnya ...

Kursus-kursus Inovasi Sepanjang Jan - Mei 2014

Inovasi adalah aktiviti untuk menyelesaikan masalah atau membuat penambahbaikan di tempat kerja untuk menjadi lebih baik dan prestasi tinggi. Inovasi mendidik individu mengamalkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam menghasilkan pengubahsuaian dan ciptaan baru alat dan prosedur kerja serta perkhidmatan  dalam meningkatkan prestasi diri, kumpulan dan organisasi mereka.
Berbagai perubahan secara dinamik telah berlaku dalam kategori dan cara pengadilan dalam pertandingan inovasi. Peubahan demi perubahan dilakukan kerana harapan pihak kerajaan agar budaya kreatif dan inovatif dapat dihayati dan keberkesanan perlaksanaan dapat dirasai oleh pelanggan serta pengiktirafan kepada kumpulan yang terbaik dapat diberi. Semoga terus berjaya.

Sebahagian dari koleksi kursus yang telah berjaya dikendalikan sepanjang Okt 2013 hingga Mei 2014. 






Baca selanjutnya ...

Khamis, Januari 02, 2014

Menjejaki Lokasi Penurunan Wahyu Pertama 'Iqrak' di Gua Hirak

Jumaat 20 Disember 2013 tepat pukul 9 malam, pendaki yang telah mendaftar diri untuk mendaki Jabal Nur di kehendaki berkumpul di lobi Hotel Hira', Mekah. Seramai lebih kurang 20 orang telah nekad untuk melihat sendiri tempat yang penuh sejarah di mana wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui Jibrail. Untuk mendaki ke jabal ini dikehendaki membuat bayaran 25 Riyal. Teman bersama anak teman yang berumur 16 tahun telah mendaftar untuk ke puncak bukit tersebut bagi menyelami keperitan rasulullah mendaki bukit tersebut.

Perjalanan dari hotel kami ke Jabal Nur mengambil masa lebih kurang 20 minit. Sampai di kawasan bukit tersebut, van sedia menunggu untuk ke kaki bukit berkenaan. Menaiki van tersebut seperti roller coaster kerana pemandu yang membawa kami memacu dengan laju dalam keadaan jalan yang sempit dan bercerun lebih kurang 30 darjah kecuramannya serta dalam keadaan malam yang gelap. 

Pada malam tersebut, tiada rombongan lain yang datang kecuali kumpulan kami sahaja. Alhamdulillah, ini mungkin kerana kami adalah rombongan umrah yang dikira terawal mendapat Visa setelah tamat musim haji. Oleh itu, untuk memanjat ke bukit tersebut, amat selesa dari kesesakan pelawat-pelawat.

Pemandangan dari pertengahan bukit
Pendakian mengambil masa 45 minit hingga satu jam mengikut tenaga dan kekuatan fizikal individu. Bagi teman yang agak berumur mungkin mengambil masa hampir satu jam. Dalam pendakian teman pada malam itu yang bermula jam 10.30 malam telah diterangi oleh cahaya bulan. Berbekalkan sebotol air mineral teman membuat tekad untuk ke puncak bukit tersebut bersama anak teruna teman. Kami membuat pendakian pada waktu malam untuk mengelakkan cuaca panas dan orang ramai.

Lagi 115 meter ke Gua
Setelah mendaki 15 minit, teman rasa lutut dah bergoyang, badan rasa nak tumbang. Inilah bahana kurang bersenam dan berjoging. Lantas teman duduk sebentar. Bila teman bertanya kepada anak teruna teman tu sama ada letih, beliau dengan selamba menyatakan tidak. Begitu lah perbezaan antara tenaga orang muda dan orang seusia teman. Walaupun lutut bergoncang, semangat masih kental mahu ke puncak. Dalam keletihan ini menyebabkan teman terlintas dalam fikiran bagaimana nabi dan isterinya Khadijah mendaki ke bukit ini yang terletak 2 batu dari Mekah ini. Sudah tentu mereka bukan orang yang calang-calang gagahnya dan tidak lemah fizikal dan mental. Waktu nabi menerima wahyu pertama (Malam 17 Ramadan - 10 Ogos, 610 M) pada umur 40 tahun 6 bulan 12 hari, Siti Khadijah telah berumur 55 tahun, tetapi mampu mendaki bukit tersebut untuk menghantar makanan kepada kekasih hatinya itu. Hmm.. (Sekarang bukit tersebut ada lebih kurang 600 anak tangga. Dibuat untuk memudahkan pengunjung..kalau tiada anak-anak tangga tersebut, mungkin memakan masa yang lebih lama untuk sampai ke gua yang setinggi 270 meter = 890 kaki). Kalau seorang lelaki, bukit semacam itu pun dah mengalah, teman rasa le sukar nak membawa satu misi yang besar.

Persediaan yang perlu untuk mendaki adalah: Untuk keselamatan kaki, selipar pun ok, tetapi kalu selipar putus, memang naya. Lebih baik guna kasut joging supaya lebih selesa dan selamat. Baju tebal pun tak perlu kerana panas apabila berpeluh semasa mendaki. Bawa la air minum secukupnya dan air untuk berwudhu, itu pun kalu berhajat hendak solat sunat di gua Hira atau dipuncak bukit. Jika ada lampu picit, elok la dibawa supaya dapat menyuluh anak tangga dan pintu gua. Walau pun nama Jabal Nur tapi kalau tiada cahaya bulan, merbahaya juga jika mendaki waktu malam.

Alhamdulillah. Dengan kesungguhan dan demi kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, jam 11.15 malam sampai juga teman di puncak. Peluh menitis, air mineral habis sebotol ketika dipuncak bagaikan hilang rasa penat apabila destinasi yang diimpikan telah tercapai. Moga Gua Hira bukti kecintaan teman kepada Rasulullah s.a.w. 

Di Puncak Jabal Nur Yang Menghadap Clock Tower Mekah

Laluan Sempit untuk ke Gua Hirak
Gua Hirak yang seluas satu sejadah

Lubang gua yang terus ke arah Kiblat di Mekah
Sesampai di Gua Hirak, teman sempat bersolat hajat dan bersujud syukur serta membuat refleksi dan muhasabah tentang jerih perit mendaki bukit tersebut. Kekaguman teman kepada kekuatan dan saiz badan rasulullah untuk sampai ke gua berkenaan. Kenapa teman kata saiz badan… kerana untuk ke gua tersebut, jika orang yang bersaiz ‘Big Show’ mungkin sukar untuk sampai ke gua berkenaan kerana harus melepasi dan melalui satu lubang yang agak sempit. Rasulullah s.a.w yang sebelum mendapat wahyu telah bertahanuth di gua yang memerlukan kekuatan fizikal, mental dan spritual. Pertemuannya dengan Jibrail di Gua Hirak ini bagi menjadi titik mula penyampaian risalah suci dengan perkataan mulia iaitu ‘Iqrak’. Bermula dari gua inilah risalah Islam disebar sehingga teman beriman kepada Allah s.w.t dan berterusan sehingga hari kiamat nanti.
Baca selanjutnya ...

Selasa, Disember 31, 2013

Kekasih Gelap Ku di Madinah Munawarah

Pada 13 Dis 2013 pertama kali teman menjejak kaki di Kota Cahaya. Masuk sahaja roda bas ke kota itu seuntai doa dipanjatkan memohon keberkahan. Sejurus memasuki Kota Cahaya itu, gemerlapan Masjid Nabawi tersirna. Memasuki masjid yg mulia dgn iringan doa, melalui Bab AsSalam amat mengujakan.

Masjid ini mempunyai satu tempat istimewa yang dinamakan 'Raudah' membuatkan hati teman terpaut. Tempat itu bukan sahaja sebagai Taman syurga malah teristimewa adalah berhampiran dengan manusia agung bersemadi. Sejak pertama kali menjejak ke tempat tersebut, hati teman amat rindu sujud di situ. Alhamdulillah sejak hari itu dan selama 3 malam sepanjang berada di Kota Cahaya, teman dapat melabuhkan jiwa raga di karpet hijau tempat mustajab hampir 10 jam. Berada di antara mimbar dan persemadian 'kekasih gelapku' sepanjang berada di kota itu, menjadikan jiwa teman tenang. Syukur AlhamdulilLah Tuhan mengizinkan teman duduk setiap malam di 'Taman Mu'.

Bab As Salam

Bersama Anak di Raudhah

Karpet Hijau Raudhah
Maqam Rasul SAW

Dalam pada itu, teringat teman kisah Imam Ghazali ketika ditanya tentang orang yang ada peluang menjejaki Kota Cahaya tetapi tidak mahu bersapa 'salam' dengan 'kekasih gelap agung'. Maka dijawap oleh Imam Ghazali bukan mereka yang tidak mahu berjumpa 'kekasih agung' tetapi mungkin 'kekasih agung' itu yang tidak mahu berjumpa mereka..... hmm. Menurut hadis, sesiapa berziarah ke maqam nabi, wajib memperoleh syafaatnya nanti. Syukur Alhamdulillah kerana setiap hari teman dapat bersapa 'salam' kepada mu.

Teman dikira bernasib baik kerana lawatan teman dikira satu timing yang tepat. Ini kerana selain jatuh pada musim sejuk, dan kota ini masih kurang pengunjung disebabkan VISA umrah baru dibuka selepas musim haji berakhir.

Di Hadapan Pintu Utama

Suasana di dalam Masjid

Ruang Raudhah yang boleh dipilih mengikut keselesaan

Saf Hadapan Masjid

Satu tips yang teman amal kan sepanjang 12 hari adalah tidur dan jaga mengikut waktu di Malaysia. Maksudnya walaupun waktu tempatan di Kota itu pukul 3.00 pagi, kita perlu bangun kerana di Malaysia dah pukul 8 pagi. Oleh itu, ketika orang-orang di kota itu diulik mimpi, teman telah berada di Raudhah.

Waktu solat di Madinah

Contoh jam di hotel menunjukkan waktu subuh masuk pada pukul  5.31 pagi, sebenarnya waktu Malaysia adalah 10.31 pagi. Oleh itu tidak masalah kalau kita pergi ke masjid pada pukul 3.00 pagi (waktu Madinah) kerana waktu Malaysia dah pukul 8.00 pagi. Jadi kita perlu tidur selewat-lewatnya 9.00 malam (waktu madinah)  kerana waktu Malaysia dah pukul 2.00 pagi. 

Sepanjang 3 malam di 'Taman Mu', kupanjatkan pujian dan doa kepada Mu. Kepada sanak saudara serta sahabat handai yang telah mendoakan pemergian teman secara langsung mahupun melalui Facebook, dalam setiap solat sunat dan doa, teman tidak lupa turut mendoakan kebahagiaan dunia akhirat buat kalian.

Buat arwah-arwah yang telah banyak berjasa dalam jejak hidup teman sejak kecil (spt Tok Timah, Long, Andak, Chu, Uda Moon, Uda Niah dan teristimewa Anjang Khairudin) setiap hari teman sedekahkan bacaan Yasin dan Tahalil di Raudah. Moga roh-roh dicucuri rahmatNya.

Pesanan: Duduk di raudhah dalam satu jangka masa yang lama banyak cabaran. Cabaran paling getir adalah KENTUT. Oleh itu jaga lah makan minum. Doalah banyak-banyak kepada Allah agar tidak diganggu oleh syaitan dengan angin tersebut. Sekali kita bangun dari raudhah itu, orang lain akan mengisinya.

Baca selanjutnya ...

Jumaat, Oktober 04, 2013

Fasilitator Kursus Komputer Bersama Jabatan Agama Islam Perak

Pada 3 hingga 4 Oktober teman berkesempatan bersama-sama dengan kakitangan Bahagan Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Perak dalam kursus berkaitan pembinaan pangkalan data dan analisis data. Jemputan untuk memberi latihan tersebut teman terima kerana teman mengibaratkan kehadiran teman seperti 'sireh pulang ke gagang'. Ini kerana teman pernah menjadi keluarga Majlis Agama Islam Perak pada suatu ketika dahulu. Melihat akan kesungguhan dan iltizam para peserta dalam kursus berkenaan, ini memberikan petunjuk bahawa kecemerlangan pengurusan organisasi ini dapat dipertingkatkan.

Dalam ucapan pembukaan kepada peserta kursus, teman telah mengemukakan konsep 'cloud computing' yang sedang hebat disuburkan dengan perkembangan peranti-peranti mobil yang canggih. Oleh itu, cara bekerja terutama dalam pengurusan data dan maklumat telah berubah sesuai dengan generasi Y.

Dalam kursus berkenaan, teman telah memperkenalkan kepada para peserta membuat analisis data menggunakan formula dalam Excel dan Visual Basic, membina pangkalan data secara rangkaian setempat dan secara rangkaian luas. Oleh kerana tempoh kursus yang singkat, dengan kesungguhan dan keazaman yang tinggi, para peserta berjaya mengharungi cabaran walaupun mereka  dari latar belakang yang berbagai dari aspek pengetahuan komputer. Syabas kepada semua yang terlibat.

Bersama Pengarah Kolej Komuniti Batu Gajah dan Peserta Kursus

Baca selanjutnya ...

Ahad, September 22, 2013

Tips Temuduga Biasiswa

Ramai calon temuduga biasiswa PhD berharap mereka memperoleh tajaan untuk meneruskan pembelajaran mereka terutama dalam kalangan para pendidik di sekolah. Namun, kebanyakan mereka gagal mendapatkan kepercayaan pihak penaja untuk membiaya pengajian mereka walaupun telah hadir ke sesi temuduga sampai 9 kali.

Apakah faktor kegagalan mereka? Apa yang teman perhatikan, ada beberapa aspek yang perlu para calon mempersiapkan diri sebelum hadir ke sesi temuduga. Panel akan melihat dan menilai dari aspek kesediaan diri dan inisiatif calon tersebut untuk bergelar pelajar PhD. Oleh itu, calon  perlu bersedia dengan kertas cadangan (proposal) kajian yang lengkap dengan masalah kajian dan tujuan kajian, kerangka teori, metodologi kajian, cadangan analisis data yang sistematik dan lengkap, tinjauan literatur dan rujukan yang telah dibuat mengikut format APA.

Di samping itu, pengetahuan calon tentang bidang yang dipohon akan dinilai. Calon bukan sahaja ditanya tentang bidang tersebut malah turut diuji tentang teori-teori yang berkaitan bidang kajian. Calon harus bijak menghubung kait teori dan isu semasa serta bidang tugas sekarang. Dengan kata lain, calon dapat berhujah tentang tesis kajian dari sudut keperluan masa kini dan masa hadapan.

Calon perlu mengemukakan bukti pengalaman dalam bidang, kelulusan akademik dan kelulusan tambahan yang berkaitan bidang yang dipohon. Dengan bukti yang kukuh serta dokumen sokongan yang teratur, menjadi faktor pemangkin untuk dipilih sebagai calon pilihan.

Di samping itu, calon yang hadir perlu menunjukkan jasa dan sumbangan mereka kepada perkhidmatan pendidikan sama ada di dalam mahupun di luar sekolah. Bukti dan dokumen sokongan amat penting bagi para calon untuk berhujah di hadapan para panel. Calon digalakkan menunjukkan bukti penulisan yang pernah dibuat sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri, kementerian, kebangsaaan mahupun antarabangsa.

Inisiatif mendaftar diri sebagai pelajar PhD persendirian tanpa tajaan di mana-mana universiti adalah amat digalakkan. Faktor ini menunjukkan calon telah bersedia dan telah memulakan pembelajaran. Oleh itu, para calon amat digalakkan mendaftar diri. Jika mereka gagal mendapat tajaan pun, perjuangan di bidang keilmuan tetap diteruskan dan berjalan. Tajaan bukan segala-galanya dalam penerusan pembelajaran.
Baca selanjutnya ...

Ahad, Ogos 18, 2013

Panel Hakim Pertandingan KIK Jabatan Pendaftaran Negara 2013

Pada 1 Ogos 2013 lepas, teman telah diberi peluang untuk menghakimi pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif peringkat Zon Tengah Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia. Sebanyak tiga kumpulan yang mewakili negeri Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan telah menyertai pertandingan tersebut. Dalam pertandingan tersebut Kumpulan dari Negeri Perak telah menjuarai pertandingan dengan tersebut. Kumpulan ini juga turut akan bertanding di peringkat Negeri Perak dalam Konvensyen KIK Anjuran Kerajaan Negeri Perak 2013.

Dalam pertandingan ini tiga projek yang menarik telah dikemukakan iaitu kaunter kad pengenalan eskpress, alat untuk mengambil memandu pemohon IC membetulkan posisi semasa mengambil gambar dan mobil kaunter.

Dalam pertandingan pada kali ini, kekuatan kumpulan KIK adalah dari segi penguasaan dari segi proses kerja KIK dan dokumen sokongan. Dari aspek persembahan kumpulan pula, semua kumpulan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan kerana menggunakan pelbagai strategi penyampaian. Namun dari segi kelemahan yang ketara adalah format surat menyurat serta carta perbatuan yang dikemukakan.

Pada keseluruhannya KIK di Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai kelas yang tersendiri dan berupaya mengungguli jabatan-jabatan kerajaan yang lain.

Dari kiri Dr. Muniandy (Panel), teman, Pengarah JPNM Perak (Tn Hj Alias), Pengarah Selangor (Tn Hj Hazmin) dan Pengarah Wilayah (Hjh Norehan)


Wakil Selangor

Wakil Wilayah

Wakil Perak

Baca selanjutnya ...

Ahad, Julai 14, 2013

Juara Berganda: Inovasi Pedagogi dan KIK

Pada 4 Julai lepas IPG Kampus Ipoh menganjurkan Pertandingan Kreativiti dan Inovasi Pendidikan 2013 yang bertemakan Kreativiti dan Inovasi Ke Arah Tansformasi Pendidikan Bertaraf Dunia. Pada kali ini teman bersama dengan 2 rakan mengambil bahagian setelah lama rehat dari pertandingan kerana menumpu kepada khidmat konsultasi kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan konsultasi dokumentasi inovasi kepada pihak luar IPG. 

Dengan pengalaman menjadi perunding dalam bidang inovasi dan hasil ciptaan kreatif kami, kumpulan teman telah dinobatkan sebagai JUARA dalam Pertandingan Inovasi Pedagogi dengan menggondol Piala Pusingan Hj Razali, piala individu, sijil dan hamper. Pertandingan kali ini amat manis kerana bukan sahaja teman berjaya menjadi juara pertandingan inovasi pedagogi malah Kumpulan Persona Pendidik iaitu kumpulan KIK yang teman selaku fasilaitator juga turut menjadi juara buat kali kedua berturut-turut. Secara tidak langsung selama dua tahun berturut-turut (2011 dan 2013) teman sebagai fasi telah berjaya memandu kumpulan KIK menjadi juara dalam konvensyen mini peringkat IPG Kampus Ipoh.

Kemenangan teman dalam pertandingan inovasi pedagogi adalah kreativiti kumpulan kami dalam mereka satu perisian yang membantu pendidik memahami konsep rekabentuk pengajaran mengguna Model ASSURE (Smaldino, Molenda, Heinich & Russell, 1996) dan diintergrasi perlaksanannya dengan Model Kreatif Terarah (Plsek, 1996) dalam perlaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Dengan menggunakan perisian yang dibina perancangan pengajaran harian (RPH) yang dijana secara automatik ini mempunyai elemen kecerdasan buatan yang membantu pendidik memilih strategi pengajaran yang diselaras dengan aktiviti dalam setiap fasa RPH (iaitu fasa persedian, fasa imaginasi, fasa perkembangan dan fasa tindakan). Ciptaan ini akan diperagakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, insyaLlah.

Bagi kumpulan KIK pula, projek SPED telah memikat para juri kerana proses kerja sehingga cadangan penyelesaian terbukti berkesan membantu pendidik dalam mengenalpasti para pelajar disleksia yang telah ditempatkan dalam bilik darjah bersama-sama pelajar dalam arus perdana. Kumpulan KIK yang teman bimbing telah mereka satu instrumen yang mampu membantu pendidik mengasingkan para pelajar yang berciri disleksia untuk diberikan pendidikan yang sesuai dengan masalah pembelajaran mereka dan diberikan rawatan yang sesuai. 




Baca selanjutnya ...

Selasa, Julai 02, 2013

Kursus Lead Auditor (IRCA) ISO 9001:2008 Bersama TOMC Sdn Bhd

Bersama Fasi Tn Hj Nazri
Pada 24 hingga 28 Jun lepas teman telah diberi peluang berkursus  Lead Auditor (IRCA) dalam sistem pengurusan kualiti ISO 9001:2008. Latihan yang telah dikendalikan pihak Total Organisation Management Consulting Sdn Bhd. (TOMC) telah memberi pengetahuan dan kemahiran dalam melaksanakan tugas sebagai ketua auditor. 

Sepanjang kursus berkenaan, banyak input baru telah diberikan oleh pihak TOMC yang telah menjadi pemangkin kepada transfomasi peranan dan nilai tambah pengetahuan serta kemahiran sebagai ketua audit. Penggunaan pelbagai pendekatan dalam proses penyampaian kursus menjadikan kursus yang agak mencabar menjadi menarik dan mudah difahami serta berkesan. Kepelbagaian kaedah yang digunakan seperti kuliah, sumbangsaran, bengkel, pembentangan, tayangan video serta simulasi audit telah memberi impak yang positif kepada para peserta sepanjang perlaksanaan kursus berkenaan.

Di antara input yang didedahkan adalah: 

Isi Kandungan Kursus


Teman mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak TOMC yang telah berjaya melaksanakan kursus berkenaan khususnya kepada Tn Hj Nazri, Pn Haryati dan Pn Malis. Tidak lupa kepada pegawai dari IPGM iaitu Y Bhg Dr Zuraida dan En. Arshad yang setia melayan para peserta sehingga berjaya menamatkan kursus dengan jayanya.

Bersama Tn Hj Nazri

Bersama Pn Haryati
Bersama Pn Malis



Baca selanjutnya ...

Isnin, Julai 01, 2013

LADAP KIK di Kolej Vokasional Persiaran Brash Ipoh dan Al Fatihah Pn Roslina Binti Ismail


Pada 15 dan 22 Jun lepas teman bersama rakan teman Dr. Abdul Hadi memberi pencerahan KIK kepada semua pensyarah Kolej Vokasional Persiaran Brash Ipoh. Para peserta teruja dengan input yang diberikan. Pada kali ini, pendekatan kami agak mencabar kerana masa sepatutnya 14 jam untuk kursus KIK yang biasa dibuat bagi pendedahan asas KIK dipendekkan kepada 8 jam (4jam x 2 kali hari Sabtu 15 dan 22 hb Jun). 


Namun, cabaran tersebut dapat diatasi dengan sempurna hasil ketekunan para pensyarah yang bakal menjadi inventor melalui pendekatan KIK. Ini dibuktikan dengan kejayaan para peserta yang telah membentangkan hasil projek mereka pada hari kedua kursus.

Pada kali ini peserta sepenuhnya menggunakan buku Pengurusan Kreatif Step byStep sepenuhnya buat kali pertama. Keberkesanan penggunaan buku tersebut dengan bantuan buku kerja telah memudahkan para peserta memahami dengan mudah pengetahuan asas KIK.

Namun pada sesi hari kedua (22 Jun 2013) teman diberitahu bahawa salah seorang dari peserta kursus iaitu Pn. Roslina Binti Ismail telah kembali kerahmatulLah kerana menghidap tekanan darah rendah. Kepulangannya ke pangkuan Rabul Jalil secara mengejut pada hari Rabu 19 Jun 2013 hampir tidak dipercayaai oleh kebanyakkan rakan sejawat kerana arwah tidak menunjukkan tanda-tanda tidak sihat. Bahkan pada hari kematiannya jam 3.30 petang, arwah sempat menghantar anaknya mengaji AlQuran pada jam 3.00 petang. 

Pada kaca mata teman pula yang baru pertama kali melihat wajahnya pada hari pertama kursus KIK, arwah merupakan di antara peserta kursus yang aktif dan berpotensi membuat pembentangan yang menarik pada hari kedua kursus nanti. Namun pada hari kedua kursus, teman diberitakan tentang pemergiannya buat selama-lamanya. Allah hanya meminjamkan arwah Roslina hanya seketika, dan kembali kepada pencipta dengan rekod perkhidmatan yang cemerlang di kolej berkenaan. Al Fatihah buat Pn.Roslina Binti Ismail. 

Allahuyarham Pn Roslina dalam sesi bengkel
Sesi Ceramah
Sesi Bengkel Kumpulan 1


Sesi Bengkel Kumpulan 3

Sesi Bengkel Kumpulan 4

Sesi Bengkel Kumpulan 5

Sesi Ceramah Dr. Abd Hadi

Sesi Pembentangan 1

Sesi Pembentangan 2



Baca selanjutnya ...