Ahad, Julai 14, 2013

Juara Berganda: Inovasi Pedagogi dan KIK

Pada 4 Julai lepas IPG Kampus Ipoh menganjurkan Pertandingan Kreativiti dan Inovasi Pendidikan 2013 yang bertemakan Kreativiti dan Inovasi Ke Arah Tansformasi Pendidikan Bertaraf Dunia. Pada kali ini teman bersama dengan 2 rakan mengambil bahagian setelah lama rehat dari pertandingan kerana menumpu kepada khidmat konsultasi kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan konsultasi dokumentasi inovasi kepada pihak luar IPG. 

Dengan pengalaman menjadi perunding dalam bidang inovasi dan hasil ciptaan kreatif kami, kumpulan teman telah dinobatkan sebagai JUARA dalam Pertandingan Inovasi Pedagogi dengan menggondol Piala Pusingan Hj Razali, piala individu, sijil dan hamper. Pertandingan kali ini amat manis kerana bukan sahaja teman berjaya menjadi juara pertandingan inovasi pedagogi malah Kumpulan Persona Pendidik iaitu kumpulan KIK yang teman selaku fasilaitator juga turut menjadi juara buat kali kedua berturut-turut. Secara tidak langsung selama dua tahun berturut-turut (2011 dan 2013) teman sebagai fasi telah berjaya memandu kumpulan KIK menjadi juara dalam konvensyen mini peringkat IPG Kampus Ipoh.

Kemenangan teman dalam pertandingan inovasi pedagogi adalah kreativiti kumpulan kami dalam mereka satu perisian yang membantu pendidik memahami konsep rekabentuk pengajaran mengguna Model ASSURE (Smaldino, Molenda, Heinich & Russell, 1996) dan diintergrasi perlaksanannya dengan Model Kreatif Terarah (Plsek, 1996) dalam perlaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Dengan menggunakan perisian yang dibina perancangan pengajaran harian (RPH) yang dijana secara automatik ini mempunyai elemen kecerdasan buatan yang membantu pendidik memilih strategi pengajaran yang diselaras dengan aktiviti dalam setiap fasa RPH (iaitu fasa persedian, fasa imaginasi, fasa perkembangan dan fasa tindakan). Ciptaan ini akan diperagakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, insyaLlah.

Bagi kumpulan KIK pula, projek SPED telah memikat para juri kerana proses kerja sehingga cadangan penyelesaian terbukti berkesan membantu pendidik dalam mengenalpasti para pelajar disleksia yang telah ditempatkan dalam bilik darjah bersama-sama pelajar dalam arus perdana. Kumpulan KIK yang teman bimbing telah mereka satu instrumen yang mampu membantu pendidik mengasingkan para pelajar yang berciri disleksia untuk diberikan pendidikan yang sesuai dengan masalah pembelajaran mereka dan diberikan rawatan yang sesuai. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda akan disemak. Terima kasih