Isnin, Jun 07, 2010

Pak Chu - Al Fatihah

Pada sebelah petang 29 Mei (Sabtu) lepas, bapa saudara teman yang mesra dengan panggilan Pak Chu (sepupu emak) tiba untuk melihat rumah pusaka mereka. Rumah tersebut jika mengikut sejarah, rumah yang pernah melahirkan 2 orang ketua polis negeri, seorang jurutera, seorang guru dan seorang pegawai bank.

Kini rumah itu telah ditinggalkan dan diziarahi sesekali oleh anak-anak. Pak Chu, pada petang 2.30 sampai di rumah tersebut, oleh kerana rumah tersebut sudah lama tinggal, banyaklah tahi burung, tahi kelawar dan tahi cicak di dalam rumah tersebut. Namun mereka mengambil sedikit masa untuk menyapu dan mencuci rumah berkenaan. Setelah selesai mereka mencuci rumah, kami menjemput datang ke rumah kami (bersebelahan rumah tersebut) bersembang sambil minum petang. "Apa kabo Lah", tanya emak teman kepada Pak Chu. "Alhamdulillah baik", balas Pak Chu. Pak Chu nampak kurang bercakap. "Kereta baru tukar ke?", tanya teman kepada Pak Chu. "Tak, itu kereta Shima", jelas Pak Chu tentang kereta yang dibeli untuk anak tunggal mereka yang sedang praktikal dan menunggu panggilan untuk melanjutkan pelajaran peringkat ijazah. Sembang-sembang pendek teman dengan Pak Chu terhenti kerana mereka nak menumpang mandi dan solat.

Setelah habis minum petang. Mereka mohon berundur diri untuk balik ke Kuala Kubu kerana jam menunjukkan jam 6 petang. Sebelum balik, mereka cuba mengunci pintu rumah pusaka mereka. Namun tidak boleh. "Yob, pinjam tukul, kejap". laungnya dari rumah pusaka. Teman mengambil sebatang besi untuk mengetuk kunci pintu yang ketat tersebut. "Pintu ni tak benarkan Chu balik kot", usik teman kepada Pak Chu. Tetapi, oleh kerana kunci itu rosak, mereka pun beredar kembali ke Kuala Kubu.

Gambar terakhir semasa Pak Chu nak tutup pintu rumah pusaka.

Selang dua hari, iaitu 31 Mei, jam 3 pagi, satu panggilan telefon menyatakan Pak Chu telah meninggal dunia. Terkejut dan tak percaya ... hmm.. InalilLahi waina ilaihirajiun.. Menurut cerita Shima, malam tu, sebelum meninggal, Pak Chu mengurut kaki Mak Su (isterinya) kerana merasa bisa-bisa sejak sebulan lepas. Selepas mengurut, Pak Chu tidor dan selang beberapa minit selepas itu, Pak Chu pergi buat selama-lamanya. Teman rasa begitu cepat dan mudah Pak Chu meninggalkan kami. Namun itu lah namanya ajal dan maut telah ditentukan oleh Ilahi. Pada hari Sabtu lepas kami bersembang, beliau seakan-akan menziarah tempat kelahiran buat kali terakhir. Namun bila saat ajal tiba, tiada siapa yang dapat menundanya walaupun sesaat. Moga Allah menempatkan beliau bersama-sama orang yang soleh. Al Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda akan disemak. Terima kasih