Selasa, November 27, 2012

Resepi Bonda - Masak Merah Telur Ayam

Anak-anak teman kalau Atok dari kampong datang, mereka akan menunggu-nunggu masakan Atok terutama Masak Merah Telur Ayam. Kalau dikira-kira, bukan umi mereka tidak pernah masak resepi tersebut, namun kata mereka, masakan Atok lagi sedap. Memang lah masakan emak teman ni memang sedap berbanding chef-chef yang ada di dunia ini. Jadi pada anak-anak teman, pada kali ini diperturunkan cara Atok masak Masak Merah Telur Ayam, kalau nak cuba-cuba.

Kalau isu lepas teman dah perturunkan cara masak nasi briani, kita boleh lah digunakan telur masak merah ini sebagai lauknya. Jika suka, telur ini boleh diganti dengan ayam goreng untuk dijadikan Masak Merah Ayam.

Bahan-bahan (Untuk Makan 4-5 orang)

  • Telur 10 biji (boleh diganti dengan ayam sebelah dipotong-potong)
  • Minyak masak untuk goreng dan menumis 
  • Bawang merah 5 hingga 7 biji
  • Bawang putih 3 hingga 5 ulas
  • Cili yang telah digiling satu camca besar
  • Cili maggi/life atau lain-lain jenama secukup rasa
  • Air 4 gelas besar
  • Sedikit garam secukup rasa
  • Sedikit gula pasir secukup rasa
  • daun sop sebagai hiasan
Cara masak Telur Ayam Masa Merah
  • Panaskan minyak untuk menggoreng telur (boleh juga diganti dengan ayam) 

  • Goreng telur yang telah dibasuh

  • Setelah selesai telur digoreng, tumis sedikit minyak masak

  • Setelah minyak panas, masukkan bawang merah dan bawang putih yang telah dihiris ke dalam kuali

  • Setelah beberapa ketika, masukkan secamca atau secukup rasa cili yang telah digiling.
  • Jika telur digantikan dengan ayam, jumlah chili ini perlu banyak sedikit.

  • Setelah itu masukkan sedikit cili botol secukup rasa.

  • Tambahkan air ke dalam kuali. Jika berkehendakkan kuah yang banyak, kuantiti air perlu ditambah.

  • Masukkan gula secukup rasa

  • Masukkan pula garam secukup rasa.

  • Biarkan beberapa ketika, sehingga menggelegak.

  • Masukkan telur atau ayam yang telah digoreng ke dalam kuali

  • Setelah beberapa ketika, masak merah ini sedia dihidang.

  • Masakan telah tersedia.



Baca selanjutnya ...

Jumaat, November 23, 2012

Skrip Sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu


Bersama  Jefri Talib Penulis Skrip
Pi Mai Pi Mai Tang Tu
Teman memang peminat sitcom tv Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Sitcom ini bukan sahaja menjadi trademark malah telah menjadi benchmark untuk mengukur kejayaan karya sesebuah sitkom di negara ini (The Star 20 Ogos 2008). Sitkom ini masih memegang rekod sebagai sitkom televisyen paling lama disiarkan di tv dalam negara ini, iaitu selama 15 tahun (1984-1999). 

Baru-baru ini teman berpeluang bersembang-sembang dalam Kursus Penulisan Skrip Drama TV dengan penulis skrip sitcom Encik Jefry Talib, seorang penulis skrip dan pengarah sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan “2+1″ yang juga pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan, Malaysia (ASWARA). 

Hasil sembang teman, rupa-rupanya tanggapan teman terhadap sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu adalah salah dan meleset. Teman beranggapan seperti orang lain iaitu sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu sebagai sebuah persembahan secara improvatif, iaitu tidak mempunyai skrip. Pihak pengarahan hanya memberi cerita pokok dan para pelakonnya mereka-reka sendiri lakonan dan dialog secara spontan. Rupa-rupanya pandangan tersebut adalah salah dan meleset. 

Naskah Skrip Pi Mai Pi Mai Tang Tu
Kejayaan dan kekuatan sitkom ini adalah terletak skripnya. Penulis skrip awal sitcom ini, Hatta Azab Khan telah berjaya mengungkap sebuah kisah benar sekumpulan masyarakat yang hidup di pinggir kota raya yang ingin bersaing dengan masyarakat kota yang lain. Walaupun senario biasa namun kerana skrip yang luar biasa telah menjadi salah satu faktor utama kejayaan siri sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Kemudian skrip sitkom ini turut ditulis oleh beberapa orang penulis lain yang juga mempunyai keupayaan bakat untuk menggarapkan isu-isu yang berkait rapat keadaan semasa seperti Adibah Amin, Zakaria Ariffin, Johan Jaafar, Sujiah Salleh, Zulkefli Said dan Jefri Talib sendiri. 

Tidak dinafikan, faktor lain kejayaan sitkom ini ialah kerana para pelakonnya yang berbakat, serius dalam melakukan latihan dan perhubungan sesama mereka mempunyai chemistry. Sebelum mengadakan sesuatu persembahan, mereka mengadakan latihan dengan begitu serius dan berterusan. Sehingga kini tidak ada pengganti bagi artis seperti Zami Ismail, Sabri Yunus, Imuda, Khatijah Tan, Ahmad Busu, Sathia dan Angeline Tan, Syahrizat Ahmad (Abon) dan Sulaiman Yassin (Mat Over).

Teman membuat refleksi tentang subjek yang teman ajar Kursus Teknologi Pengajaran berkaitan dengan tajuk penghasilan bahan video dan audio. Penyediaan story board dan skrip amat penting dalam penghasilan sesuatu karya dalam bentuk rakaman atau   'live'. Sdra Jefri  Talib telah meneroka kejayaan dalam bidang ini  penulisan skrip dan pengarahan Pi Mai Pi Mai Tang Tu semasa berumur 25 tahun. Kejayaan dan kecemerlangan yang telah beliau tempa perlu ada pelapis. Oleh itu, kemahiran ini perlu diperturunkan supaya dapat melahirkan, membentuk dan memperkayakan tenaga profesional yang mampu menulis skrip yang dapat menyampaikan mesej dengan berkesan. Pra syarat kejayaan adalah minat dan  kesungguhan.

.


Baca selanjutnya ...

Ahad, November 18, 2012

Sistem Khilafah Islam 'Ala Minhajin Nubuwwah

Dalam kesibukan PAS bermuktamar di PUTIK Kelantan membincangkan isu politik setempat dan antarabangsa, dalam kesibukan BN merayakan Deepavali orang-orang Hindu di SG Siput, namun rakyat Palestine di bumi Gaza terus dibunuh dan dibelasah tanpa peri kemanusiaan. Sehingga blog ini ditulis lebih 45 orang awam Gaza telah dibunuh. Bermakna sejak 14 November 2012 hingga 17 November 2012 setiap 2 jam, seorang insan dibunuh dengan kejam. Apakah kita di bumi Malaysia khususnya tidak terdetik dihati atau merasakan 'marah' ke atas keiblisan Israel? Atas dasar kemanusiaan, atas dasar aqidah, atas dasar perpaduan ummah, adakah kita di bumi Malaysia tiada rasa belas kasihan?

Pada teman, kita kurang merasai kerana bukan wilayah atau negara kita. Ini adalah akibat dari sejak runtuhnya khilafah Usmaniyah diruntuhkan oleh agen Yahudi. Ini adalah kesan dari dasar pemecahan negara di dunia kepada wilayah kecil secara pemerintahan berotonomi. Oleh itu, perlu dibangunkan semula sistem KHILAFAH dalam kalangan negara-negara Islam. 

Perjuangan penegakan kembali khilafah Islam, telah dimulai sejak hampir seabad yang lalu. Sejarah telah mencatatkan bahawa ada beberapa insan mendakwakan diri sebagai khalifah, seperti Husein bin Ali dari Hijjaz, dan Raja Fuad dari Mesir. Namun, mereka tidak diakui sebab dianggap tidak mewakili kekuasaan umat Islam keseluruhan.

Negara khilafah adalah negara khilafah ‘ala minhajin nubuwwah. Negara khilafah ‘ala minhajin nubuwwah adalah negara khilafah yang didirikan atas manhaj (metod) Rasulullah saw. Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah yang dimaksud adalah khilafah yang dijalankan dengan dalil-dalil syar’i, iaitu Alquran, Sunnah, Ijma’ Sahabat, dan Qiyas Syar’i.


Hakikat Negara Khilafah

Khilafah, secara etimologis, adalah kedudukan pengganti yang menggantikan orang sebelumnya. Menurut terminologi syar’i, khilafah bererti kepimpinan umum untuk seluruh dunia, yang menjadi hak seluruh kaum muslimin di dunia untuk menegakkan hukum syariat Islam (hukum Allah) dan mengembang dakwah Islam ke seluruh dunia.

“Kepimpinan umum” berperanan mengurus seluruh urusan yang meliputi pelaksanaan semua hukum syara’ terhadap rakyat seluruh dunia. Dari masalah akidah, ibadah, ekonomi, sosial, pendidikan, politik dalam dan luar negeri, semuanya diurus oleh khilafah Islam.

Pada teman, satu khilafah Islam adalah:
  1. Negara Islam tidak berbentuk persekutuan, commonwealth tetapi berbentuk kesatuan.
  2. Sistem pemerintahan Islam tidak berbentuk kerajaan (monarki mutlak ataupun parlimen), tidak berbentuk republik. Tetapi sistem pemerintahan Islam adalah sistem khilafah, di mana khalifah tidak seperti presiden, juga tidak seperti perdana menteri, atau raja.
  3. Sistem pemerintahan Islam juga tidak berbentuk demokrasi, teokrasi, ataupun autokrasi. Tetapi, sistem pemerintahan Islam adalah sistem khilafah yang tidak sama dengan model pemerintahan yang ada di dunia kini.
  4. Sistem pemerintahan Islam berbentuk sentralisasi, manakala pentadbiran atau birokrasinya menggunakan sistem desentralisasi.
  5. Bentuk negara Islam yang sesungguhnya juga bukanlah bentuk negara bangsa (nation-state) tetapi bentuk negara Islam adalah bentuk negara global, sebagai bentuk kesatuan umat Islam sedunia. 
Dengan wujud kilafah ini, jika terjadi sesuatu perkara, bencana dan sebagainya seperti di Gaza, seluruh ummat di bawah khilafah akan bangun. Wehdah dan kesatuan, akan menggerunkan musuh Islam seperti Israel.

Baca selanjutnya ...

Sabtu, November 17, 2012

Menjadi Chef Sekejap - Nasi Briani

Hari ini 17 Nov 2012, teman telah menuntut ilmu memasak nasi briani daging, ayam masak merah, daging masak kurma dan acar buah di Kolej Komuniti Batu Gajah Perak. Latihan memasak seperti ini belum pernah teman lakukan secara formal lebih-lebih lagi menimba ilmu dari seorang chef muda (23 tahun) yang nama baru meningkat naik. Nama chef tersebut adalah Chel Hairil yang kini mempunyai sebuah restoran sendiri di Universiti Teknologi Petronas. Jika nak tahu lebih lanjut tentang beliau beli majalah Aroma keluaran Oktober 2012. 



Apa yang mengujakan dalam sesi latihan ini, hanya teman sahaja pelatih chef lelaki yang mengambil bahagian.     Sebenarnya memang teman ni minat juga memasak jika ada peluang dan lapang. Kalau dapat pendidikan formal tentang masak, pastinya teman menjadi pesaing chef-chef ternama sekarang.
Ramuan-ramuan untuk nasi briani
Chef Hairil sedang memberi taklimat
Jom masak Nasi Briani (untuk makan 4 orang)

Bahan:

  • 3 cawan beras basmathi
  • rempah briani
  • bunga lawang, cengkih dan kulit kayu manis
  • sedikit rempah kurma
  • 3 helai daun pandan 
  • 6 ulas bawang merah blend
  • 6 ulas bawang putih blend
  • 2 inci halia blend
  • 1/2 bawang besar dihiris
  • sedikit daun pudina
  • sedikir daun bawang
  • sedikit daun sop
  • 1/2 tin minyak sapi
  • sedikit garam
  • sedikit pewarna kuning
  • gajus
  • kismis
  • setengah cawan susu cair
  • air mawar
  • 3 sudu mayonis

Cara memasak:

  • Panaskan  sedikit minyak dan masukkan minyak sapi


  • Masukkan bawang merah, bawang putih dan halia yang telah diblend ke dalam kuali.
  • Ramuan siap dihiris yang perlu diblend
  • kemudian masukkan bawang dihiris serta bunga lawang, cengkih dan kulit kayu manis serta daun pandan
Masukkan daun pandan selepas ramuan dipanas
  • Masukkan rempah briani dan sedikit rempah kurma

Masukkan rempah briani dan sedikit rempah kurma
  • Panaskan ramuan sehingga pecah minyak

Ramuan briani siap dimasak
  • Selepas beras dibasuh, campurkan beras dengan setengah tin susu cair.
  • Kemudian campurkan ramuan briani ke dalam beras.


  •  Tambahkan air secukupnya supaya nasi tidak keras atau terlalu lembik 


  •  Masukkan sedikit garam secukup rasa

  • Setelah itu on kan rice cooker.
  • Ketika air di dalam rice cooker mendidih, masukkan daging yang telah siap dihiris ke dalam periuk nasi.

Nasi siap masak
  • Setelah nasi telah masak, campurkan daun sop, daun bawang, lobak, daun pudina dan lada dihiris ke dalam periuk 


  • Tambahkan sedikit susu pekat manis

  • Tambahkan sedikit mayonis



  • Gaulkan nasi dengan ramuan yang telah dimasukkan
  • Tunggu sebentar. Setelah itu masukkan sedikit pewarna, kismis dan gajus


  • Dan terakhir, renjiskan sedikit air mawar.
Nasi tambah untuk 4-5 orang sedia dihidangkan RM 20

Di akhir sesi, teman dianugerahkan majalah AROMA kerana teman satu-satunya peserta lelaki yang belajar memasak pada sesi tersebut hehehe, terima kasih Chef Hairil.






Baca selanjutnya ...

Rabu, November 14, 2012

Terapi kaki di Hot Spring

Setelah letih dengan kesibukan kerja, sesekali teman merehatkan diri dari kesibukan tugas sambil menjalani terapi kesihatan. Terapi yang teman maksudkan adalah merendam kaki dengan air panas untuk mempercepatkan peredaran darah. Tempat rehat teman pilih kali ini adalah FELDA Residence Hot Springs di Sg Klah Sungkai. 

Petunjuk
Kolam rendam kaki

Pada peringkat permulaan merendam, memang teman tidak dapat merendam kaki kerana terasa kepanasan air tersebut. Setelah beberapa ketika, melalui mental setting yang betul, perasaan kepanasan dapat diatasi dan teman berjaya merendam sehingga selama 15 minit dan badan mengeluarkan peluh. Sehari selepas merendam, kaki teman kelihatan cantik.

Merah kaki teman

Amalan merendam kaki dengan air panas adalah satu kaedah penjagaan kesihatan yang popular di kalangan masyarakat Cina. Perubatan tradisional Cina mengesyorkan rendam kaki dengan air panas setiap hari supaya menggalakkan peredaran darah dan mengurangkan peluang demam. Terapi rendam kaki dengan air panas adalah satu siri penjagaan kesihatan yang berkesan kerana kaki adalah jantung kedua tubuh badan manusia. Terdapat banyak titik akupunktur di telapak kaki. Enam meridian (hati, hempedudi pundi kencing, buah pinggang, limpa dan perut) terdapat di kaki. 
Suhu 42 - 50 darjah celcius

Merendam kaki dalam air panas meningkatkan pengaliran darah ke bahagian atas tubuh badan dan juga melepaskan tekanan. Sebaik-baiknya, kaki perlu direndam sekali sehari dalam besen yang agak dalam, lebih daripada 15 sentimeter dalam sehingga betis boleh direndam juga. Mula dengan air panas, kira-kira 40 darjah Celsius sambil menambah air panas untuk mengekalkan suhu. Merendam sehingga berpeluh boleh melegakan. Keluarkan kaki anda apabila anda mula berpeluh. Dalam 15-30 minit anda akan berpeluh yang menunjukkan saluran tenaga tidak lagi berkembang. Berpeluh terlalu banyak bukan baik kerana ia menggunakan tenaga terlalu banyak. Orang yang sihat biasanya mula berpeluh dalam 20 minit, atau mungkin mengambil masa yang lebih lama bagi mereka yang mempunyai aliran tenaga.  Amalan ini juga merupakan cara yang baik untuk mencegah strok.

Kolam Mandi
Tempat merebus telur



Baca selanjutnya ...

Selasa, November 13, 2012

Tahniah IPG Rajang di Konvensyen KIK Kementerian Pelajaran 2012

Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kementerian Pelajaran Malaysia telah di adakan pada 29 Oktober hingga 1 November 2012 di The Royale Bintang Resort, Seremban. Sebanyak 31 kumpulan dari pelbagai jabatan Kementerian Pelajaran Malaysia telah mempersembahkan inovasi yang dihasilkan oleh kumpulan masing-masing. IPGM telah diwakili oleh 3 buah IPG iaitu IPG Pendidika Islam, IPG Rajang Sarawak dan IPG Gaya Sabah.

Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang yang pertama kali menyertai Konvensyen KIK ini telah memenangi anugerah Kumpulan Baru Terbaik dan diberi pengiktirafan 3 bintang di atas inovasi yang dipersembahkan. Untuk makluman, Kumpulan KIK Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang telah ditubuhkan pada awal tahun ini dan diberi nama "R-Tech". Kumpulan R-Tech ini diwakili oleh 11 orang kakitangan yang terdiri daripada pensyarah, pegawai pengurusan dan pegawai teknologi maklumat.
Bersama kumpulan KIK IPG Rajang
semasa pemilihan 3 kumpulan terbaik untuk mewakili IPGM
sempena Mini Konvensyen KIK IPGM 2012

Projek yang dibangunkan oleh kumpulan KIK ini adalah berkaitan dengan penambahbaikan kepada sistem pengurusan praktikum di IPG. Dengan penggunaan sistem dalam talian, mereka telah dapat meningkatkkan mutu perkhidmatan dan latihan IPG. Tahniah diucapkan kerana pencapaian cemerlang.

Teman selaku panel pemilihan semasa Konvensyen KIK IPGM 2012 untuk mewakili IPGM turut merasa terharu dan bangga atas pencapaian yang cemerlang ini.
Baca selanjutnya ...

Rabu, November 07, 2012

KIK Guru Pra Sekolah Jabatan Pelajaran Wilayah Putrajaya

Kumpulan SKP Persint 9(2) - Kedua
Pada 6 November lepas teman telah dijemput menjadi panel hakim bagi konvensyen KIK Peringkat Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya sempena Hari Inovasi dan Anugerah Kualiti. Sebanyak 13 kumpulan telah mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan. Apa yang menarik pada konvensyen pada kali ini adalah penyertaan dari pelbagai peringkat sekolah. Dari pra sekolah, sekolah rendah, sekolah harian, sekolah kluster dan sekolah agama telah mengambil bahagian.

Ini bermakna, KIK bukan lagi menjadi halangan kepada mana-mana organisasi sama ada kecil atau besar untuk melaksanakannya. Malah dalam konvensyen KIK di peringkat Jabatan Pelajaran ini, Sekolah Rendah Persint 9(2) di Putrajaya dalam kalangan guru pra sekolah berjaya mendapat tempat kedua dalam konvensyen tersebut dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya telah muncul sebagai johan setelah berjaya mempamerkan kemampuan perlaksanaan dan persembahan KIK mereka.

Pada suatu ketika dahulu KIK merupakan satu kaedah yang hanya segelintir dan sekelompok individu sahaja yang mengetahui. Namun kini, KIK telah menjadi satu budaya dalam kalangan pendidik di sekolah-sekolah di Putrajaya. Keprihatinan pegawai pendidikan dalam mengadakan latihan kepada guru-guru, telah membuahkan hasil kerana pada tahun ini adalah merupakan tahun kedua konvensyen diadakan di peringkat Jabatan Pelajaran ini.

Oleh itu, alangkah baiknya jika seluruh sekolah di Malaysia mengambil inisiatif mewujudkan kumpulan-kumpulan guru yang inovatif kerana ia dapat merangsang daya inovasi dan kreatif warga guru. Jika Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya boleh melakukan, Jabatan Pelajaran Negeri-negeri lain patut meneladaninya. Jabatan Pendidikan Negeri tidak seharusnya memilih projek tanpa melaksanakan konvensyen di negeri masing-masing. Amalan sekarang, JPN hanya memilih secara terus sekolah yang berpotensi untuk konvensyen di peringkat kementerian sahaja. Cara sebegini tidak membantu menggalakkan pewujudan budaya kreatif.

Ketua Panel Hakim
Cadangan ini memberi implikasi yang besar kepada pengurusan di JPN. Mereka seharusnya menyediakan bajet kewangan, latihan, persekitaran kreatif dan pengiktirafan. Jika sistem sokongan ini tidak dilakukan, inovasi dalam kalangan guru lambat disebar luas atau lambat dilakukan penyeragaman di antara sekolah-sekolah. 
Jika warga perkhidmatan awam mengambil kesempatan dalam menceburi diri dalam KIK, ia merupakan advantage kerana pengetahuan ini dapat dihayati serta digunakan dalam kerja harian. Syabas dan tahniah kepada warga pendidik dalam pentadbiran Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Sempena Hari Inovasi dan Anugerah Kualiti, tersebut, pameran hasil inovasi  pelajar turut diadakan dalam kalangan pelajar sekolah.

Cenderamata Dari Timbalan Pengarah Pelajaran Wilayah Putrajaya
Bersama KIK SMKA Putrajaya - Johan
Persembahan KIK SMP Persint  14(1) - Tempat Ketiga
Inovasi Kanji Batik
Inovasi Tongkat
Inovasi Penapis Air
Baca selanjutnya ...

Isnin, November 05, 2012

Inovasi melalui Eksperimen

Rospin: Rostrum Pintar yang
mengubahsuai  ketinggian mikrofon
mengikut tinggi pengguna. 
Satu-satunya cara anda boleh melakukan inovasi adalah dengan eksperimen. Kebanyakan kita lupa tentang eksperimen. Kita selalu begitu tertumpu kepada deadline tugasan. Jika seseorang "melakukan sesuatu luar tugas rasmi" kita beranggapan bahawa ia adalah satu pembaziran masa dan wang. Walau bagaimanapun, berinovasi adalah penting untuk mendahului masa kini  dan merupakan satu medium yang sangat kompetatif untuk masa hadapan.

Jika anda mahu melakukan inovasi, anda perlu untuk mengatasi dua halangan:
  • Mencari masa untuk eksperimen
  • Mencari cara untuk eksperimen
Mencari masa untuk bereksperimen

Kita tahu bahawa Google menggalakkan pekerja mereka untuk menghabiskan 20% masa kerja mereka pada projek-projek peribadi. Ini kerana mereka sedar bahawa ia adalah peluang mereka untuk mencuba sesuatu yang baru dan inovasi.

Pada hakikatnya untuk membuat eksperimen tidak sesukar seperti yang difikirkan. Tidak ada seorang pun akan bekerja 100% tumpuan pada satu-satu kerja dalam sehari. Kita semua perlu rehat. Penumpuan penuh tanpa rehat sebenarnya menurunkan produktiviti. Kerja tanpa rehat ini cenderung untuk mengambil lebih lama kerja daripada jika anda mengambil rehat.

Menguji idea-idea baru boleh menyeronokkan. Ia adalah sejenis rehat yang diperlukan dari kerja-kerja biasa. Ia akan membuatkan masa 'down' anda lebih produktif.


Cara-cara untuk eksperimen

Sukar untuk menentukan pendekatan mana yang sesuai untuk eksperimen. Ia bergantung kepada jenis kerja yang anda lakukan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pendekatan yang boleh pertimbangkan.


  • Eksperimen di sandbox - Buat di kawasan tertutup di mana anda boleh mencuba idea-idea baru.  Ini adalah tempat yang sempurna untuk mencuba reka bentuk baru. Ia adalah selamat dan tiada siapa yang perlu pernah melihat cubaan buruk anda pada inovasi!


  • Eksperimen pada pengguna - Anda mungkin mahu mendedahkan beberapa idea-idea anda kepada pengguna sebenar. Sebagai contoh, anda mungkin mahu untuk mencuba beberapa ujian dengan kawan-kawan. Memang diakui eksperimen kepada pengguna berguna untuk  mendapatkan maklum balas daripada rakan-rakan mereka.

Selamat bereksperimen idea, produk atau proses.
Baca selanjutnya ...

Khamis, November 01, 2012

Konvensyen KIK SMV/SMT/KV 2012

Pada 30-31 Okt 2012, teman dijemput menjadi ketua panel hakim bagi Konvensyen KIK SMV/SMT/KV Peringkat Kebangsaan 2012. Teman mengucapkan tahniah kepada pihak Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia kerana berjaya menganjurkan majlis ini dengan jayanya kerana dalam masa yang sama pertandingan inovasi produk pelajar dan guru turut dipertandingkan. Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) YB Dato Hj Fadillah Hj Yusof. Tahniah juga diucapkan kepada semua kumpulan KIK yang telah berjaya membentang projek mereka dalam konvensyen kali ini walaupun kebanyakan kumpulan adalah merupakan pengalaman pertama menceburi KIK. 

Teman terharu dengan usaha yang ditunjukkan oleh warga KIK yang telah bersungguh-sungguh mempamerkan keupayaan dan kemampuan mereka mempersembahkan projek-projek mereka. Mencari dan memberi anugerah kepada “Best of the best” sudah pastinya agak sukar bagi panel penilai. 

Kekuatan kumpulan KIK pada kali ini adalah, kebanyakan kumpulan memahami aliran proses KIK dari mengenalpasti masalah sehinggalah proses penyeragaman. Ini dapat ditunjukkan dalam carta perbatuan kumpulan-kumpulan KIK dengan berpaksikan kepada kitaran PDCA. 

Di samping itu, kebanyakan kumpulan amat kreatif dalam mengemukakan cadangan penyelesaian kepada masalah. Penghasilan bahan dan cadangan penyelesaian masalah melalui KIK, ada yang mempunyai nilai komersil yang boleh dipatenkan serta boleh dikongsikan bersama-sama dalam kalangan sekolah dan kolej vokasional yang lain. Perkongsian ini akan memberi markah yang tinggi kepada kumpulan KIK dan menjana pendapatan jika ia dapat dilakukan. 

Mutu penyediaan buku laporan juga amat baik dan berkualiti. Kesungguhan penyediaan bahan telah memberi impression yang positif kepada panel. Penggunaan tool dan carta yang tepat dan baik di samping data sokongan, akan memberi kelebihan kepada kumpulan yang bertanding.

Namun, beberapa kelemahan dan kekurangan boleh diperbaiki melalui projek-projek baru akan datang. Antara aspek yang boleh ditambahbaik adalah: 

  1. Kesilapan teknikal dalam penggunaan tool kualiti yang asas tidak sepatutnya berlaku seperti pada Rajah Pareto dan Ishikawa.
  2. Kebanyakan kumpulan kurang memberikan pemerhatian prosedur penyeragaman seperti perubahan dalam fail meja, prosedur kerja, perubahan piagam pelanggan dan KPI organisasi.
  3. Penekanan perlu diberikan kepada analisis impak (sama ada positif atau negatif) dalam bentuk yang boleh dikira dalam RM.
  4. Semua kumpulan KIK perlu melihat teknik-teknik analisis kos faedah (cost-benefit analysis) kerana criteria ini terkandung dalam skema permarkahan dan analisis pengurusan risiko. 
Sesi Rumusan Ketua Panel Hakim KIK 
Adat bertanding ada yang menang ada yang kecundang. Yang menang tahniah diucapkan. Yang kalah, anggaplah ia sebagai kemenangan yang tertangguh.

Bersama Pengarah BPTV Tn Hj Tajuddin, Prof Dr. Ramlee Mustafa UPSI dan Panel-panel SIRIM

Juara KIK dari SMV Perdagangan JB
Berita di MOSTI WEB
Baca selanjutnya ...