Khamis, Ogos 25, 2011

Dunia Kasih Sayang

Baru-baru ini saya ke Negeri Sembilan untuk mengunjungi rumah seorang saudara. Sewaktu kereta melalui hutan rekreasi Hulu Bendul di Kuala Pilah (kawasan sebenar), nun di depan sana, saya lihat ada sekumpulan monyet mundar-mandir di sisi jalan yang sibuk. Ia seperti buru-buru mahu melintas ke seberang jalan.

Saya terus memandu dan sewaktu kereta semakin hampir, saya terkejut kerana terdapat seekor monyet menggeletik di atas jalan. Ia baru dilanggar salah sebuah kereta di hadapan saya. Pantas saya menekan brek dan memperlahankan kereta.

Kereta semakin hampir dan dada ini berdebar pabila tertampak monyet itu terus menggelupur dan menghempas-hempas diri di atas jalan. Kakinya terketar-ketar. Di sampingnya ada darah dan cebisan daging.

Namun yang paling menyentak perasaan saya ialah apabila melihat perutnya yang buncit itu terburai, dan dari celah luka besar itu tersembul sesuatu berwarna KELABU. Tahukah pembaca, benda apakah yang saya lihat itu? Benda kelabu itu adalah ANAK yang masih dalam kandungannya! MashaALLAHhh..!

Pada ketika itu saya terasa tubuh ini menggeletar. Saya pasti, si ibu monyet tadi akan mati sebentar lagi. Begitu juga dengan anaknya. Nyawa si kecil pasti melayang sebelum sempat melihat wajah tercinta si ibu.

Sebaik melintasinya, saya pandang cermin sisi dan belakang. Saya nampak kawanan monyet tadi bercempera. Ia berlari-lari mendapatkan si ibu tadi, tetapi kemudian bertempiaran semula ke tepi jalan kerana hampir sahaja dilanggar kenderaan yang lalu-lalang.

Mungkin kepada pembaca sekalian, apalah ada pada nyawa seekor monyet. Ia hanya MONYET. Haiwan bodoh. Hidupnya di hutan, tidak setaraf dengan manusiawi. Tapi TIDAK kepada saya. Pulang bercuti, saya terus catatkan surat ini kerana tragedi yang saya sebutkan tadi sebenarnya telah mengingatkan saya kepada sebuah peristiwa seawal 1990-an.

Pembaca Blog Teman yang diRAHMATi Allah Azza waJalla,

Ketika itu usia saya masih di awal 20-an. Hari itu, saya dipamit oleh seorang bapa saudara untuk memburu di hutan berhampiran rumah. Saya bukanlah minat berburu, tetapi daripada bosan terperuk di rumah, saya terima ajakan bapa saudara saya tadi.

Masih saya ingat, beberapa jam berburu, matahari pun sudah menggalah, namun tiada kedapatan pun seekor haiwan yang melintas di hadapan kami. Pelanduk, napuh, rusa, ayam hutan dan burung yang selalu berlegar di hutan itu, seolah-olah bersembunyi jauh dari kami. Hutan itu sepi.

Saya bertambah rimas, pakcik pula saya lihat mula kecewa. Hari kian beranjak petang, pakcik menepuk-nepuk senapang RELAnya.

Bilang pakcik, “Kita balik ajalah, hari ni tak ada apa-apa. Mungkin esok ada habuan.”

Kami berjalan pulang, dan selang dua tiga puluh derap langkah, kami terdengar suara riuh-rendah di sebalik rimbunan pohon berdaun lebat di hadapan kami. Saya mengamati suara itu, ternyata ia datang dari sekawan monyet yang sedang memakan buah-buah tempatan.

Saya perhatikan pakcik begitu berminat memerhatikan tingkah nakal haiwan tersebut. Di bibirnya terukir seulas senyuman. Senyuman yang saya faham benar akan tamsilannya. Adakah pakcik hendak memuntahkan peluru senapang RELAnya menembak monyet-monyet itu?

“Haa.. Pakcik nak tembak ibunya, lepas tu pakcik nak ambil anaknya. Nanti boleh bela,” begitu jawapan pakcik.

Masih saya ingat juga, saya berulang kali mendesak pakcik supaya membatalkan hasratnya itu, namun hampa. Saya gagal mengendurkan niatnya. Tidak akan saya lupa kata-kata pakcik petang itu, “Daripada balik tangan kosong…” lalu dia mengancungkan senapangnya ke arah kawanan monyet tadi, dan…

DAMMM!!!

Demi berdentum sahaja senapang, bertempiaran dan lintang-pukang monyet-monyet tadi menyelamatkan diri. Hutan itu riuh dengan bunyi ranting jatuh serta jerit pekik haiwan berkenaan.

BUUUPP! Ada suatu benda yang jatuh ke tanah!

Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh berdekatan dengan kami. Saya dan pakcik terus mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran darah pekat. Anaknya yang tidak mengerti apa-apa terlepas dari pelukan, tercampak tidak jauh dari ibunya sambil menjerit-jerit.

Si ibu merengus-rengus memanggil anaknya dengan lemah. Ia cuba bangun dengan bersusah payah sambil tangannya mencapai akar-akar pokok untuk mendekati anaknya. Sang anak yang baru berjalan jatuh, bangun mendapatkan ibunya.

Si anak itu terus saja memeluk ibunya yang kesakitan. Masih terbayang jelas di ingatan saya bagaimana si ibu monyet tadi memegang tubuh dan menatap wajah anaknya puas-puas, kemudian dicium berkali-kali. Setelah itu dibawa si anak ke dada lalu disuakan susunya.

Saya dan pakcik terdiam melihat si anak menghisap susu manakala ibunya mengerang-ngerang perlahan seakan memujuk sambil menahan sakit. Hati saya tersentuh. Betapa si anak yang baru melihat dunia tidak tahu bahawa ibu tempat dia bermanja akan pergi buat selama-lamanya. Saya tidak mampu menyelami fikiran si ibu monyet tersebut. Namun, mungkin ia ingin memeluk anaknya buat kali terakhir, sepuas-puasnya kerana.. selepas ini, ibu akan pergi, nak. Ibu tidak akan dapat memelukmu lagi tatkala kau kesejukan, menyuap mulutmu bila kau merengek kelaparan, juga melindungimu bila kau disengat panas.

Mata si ibu monyet itu menyorot lemah ke arah kami. Tangannya memeluk erat si anak seolah-olah enggan melepaskannya, biarlah ia mati bersama anaknya. Tubir mata ibu monyet, saya lihat digenangi air, masih tidak lepas memandang kami dengan pandangan sayu. Mungkin ingin menyatakan betapa kejamnya manusia. Dosa apakah yang aku lakukan hingga aku ditembak? Salahkah aku bebas ke sana ke mari di bumi indah ciptaan ALLAH Ta’ala ini?

Tubuh ibu monyet itu berlumuran darah... begitu juga dengan si anak yang masih di pelukannya. Beberapa detik kemudian, dengan kudrat yang masih berbaki, kami lihat si ibu mengucup anaknya kesekian kalinya. Perlahan-lahan tubuhnya terkulai di tanah, bisa penabur dari muncung senapang pakcik tadi tiada daya ditanggung jasad si ibu monyet.

Si anak menjerit-jerit memanggil ibunya supaya bangun dan melarikan diri dari situ, tapi si ibu… sudah tidak berNYAWA lagi. Puas menjerit, si anak menyusu semula tanpa mengetahui sebentar nanti tubuh si ibu akan menjadi sejuk dan beku.

Di saat itu perasaan saya terlalu sebak. Saya perhatikan pakcik. Dia beberapa kali menggetap bibir cuba menahan air matanya daripada tumpah ke pipi. Tapi bila melihat si anak monyet tadi menjerit dan menggoncang-goncang tubuh ibunya, akhirnya takungan air mata kami pecah juga. Saya betul-betul kesal dengan apa yang berlaku.

Suasana sunyi kembali. Si anak monyet itu kami rangkul dan bawa pulang. Biarpun ia terus menjerit-jerit dan tidak rela berpisah dengan ibunya yang telah kaku.

Di dalam perut kereta, saya hanya mengunci kata. Begitu juga pakcik. Pada ketika itu saya dapat merasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh satu nyawa yang tidak berdosa. Biarpun monyet itu hanya haiwan yang hodoh, tapi mereka juga punya perasaan, ada rasa kasih kepada anak, rasa sayang kepada ibu. Tapi kita MANUSIA…? Mana hilangnya aqal WARAS kami??

Selang dua minggu kemudian, anak monyet tadi mengikut jejak ibunya. Pakcik memberitahu saya, anak monyet itu tidak mahu makan dan asyik menjerit-jerit sahaja. Mungkin ia RINDUkan ibunya. Apabila malam, keadaan bertambah teruk dan akhirnya.. MATI (noktah).

Kini saya sudah bekerja dan berumahtangga. Peristiwa tadi sudah saya ceritakan kepada anak dan isteri saya agar mereka mengerti bahawa haiwan juga punya perasaan berkasih-sayang. Yang KEJAM adalah manusia, walaupun kitalah satu-satunya makhluk yang Tuhan anugerahkan aqal fikiran. Tidak lupa saya memberitahu mereka betapa agung dan sucinya kasih sayang seorang wanita bergelar IBU.

Pakcik? Dia sudah jarang berburu. Jika terserempak kawanan monyet sekalipun, pakcik tidak akan menembaknya..

* Pertama kali saya baca kisah ini ketika sedang menjaga anak-anak didik saya yang sedang menghadapi ujian bulanan sekitar Mac. Beberapa orang 'anak-anak' saya perasan akan kehadiran air mata yang mengalir di pipi. Ya, barangkali emosi saya tersentuh pabila berkait dengan kes-kes sosial remaja kini. Ya ALLAH.. KAU lindungilah kami dari seksaan azab NERAKA-Mu dan tunjukilah serta pimpinilah kami ke jalan yang lurus, ameen..

Ukht Murfiqah – Firaqiyatoun, Malizia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda akan disemak. Terima kasih