Baru-baru ini teman bersama rakan-rakan mengadakan lawatan kerja di Universitas Negeri Jakarta dan Universitas Pendidikan Indonesia. Kesempatan ini teman telah melawat puncak gunung berapi yang masih aktif di Tangkuban Parahu, Bandung. Dalam kesibukan para 'udin' menjual cenderamata di kawasan berkenaan, teman terpandang seorang tua yang sibuk juga menjual barang dagangannya. Perhatian teman terfokus kepada beliau kerana hanya dia sahaja yang nampak berusia dalam kalangan udin-udin tersebut. Lalu teman bertanya berapa usianya. Dia menjawab bahawa dia lahir pada 1920 (bererti telah berusia 92 tahun). Teman teruja kerana fizikal tubuh badan nya memang gagah tidak seperti orang tua dan masih menjalankan perniagaan cenderamata dengan memburu para pelancong yang datang. Justeru teman bertanya tentang petua kepada Bapak Endang Warsim tersebut. Pak Endang dengan senyum ramah dan lemah lembut memberikan petua kepada teman. Sambil memikul daun-daun kayu untuk ubatan tradisional dan serbuk sulfur gunung berapi (untuk ubat masalah kulit), beliau membisikkan kepada teman ayat dari surat AlKahfi di akhir ayat 19:
وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَداً
"Anak, ayat ini dibacain disaat sebelum mandi", bisik beliau kepada teman. Setelah itu, teman menaiki bas pariwisata meninggalkan kawasan pelancongan tersebut. Di dalam bas, teman terfikir sendirian, mungkin Allah memberi rezeki kepada teman dengan pertemukan teman dengan Bapak Endang di Gunung Tangkuban Parahu. Dalam kesibukan rakan-rakan membeli cenderamata, teman dititipkan petua yang amat mahal dari celahan asap sulfur di lembah yang penuh diselaputi lava. Anugerah berharga sedutan dari surah Al Kahfi dari Bapak Endang diberikan tanpa perlukan bayaran. Walaupun Dayang Sumbi dan puteranya Sangkuriang (Lagenda Gunung Tangkuban Parahu) tidak ditemui di Kawah Ratu, petua Pak Endang sentiasa akan diingati. Semoga Bapak Endang diberikan kesihatan sentiasa dan dalam rahmatNya.
** ayat ini menceritakan 7 orang pemuda ditidurkan selama 300 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen anda akan disemak. Terima kasih