Khamis, Ogos 30, 2012

Blog Bermaklumat atau Cantik?


SEBAGAI pemilik blog, tidak lain antara perkara yang menjadi tujuan keutamaan adalah untuk berhasil mengekalkan tempoh pembaca atau pelawat berada di blog anda lebih lama. Ini akan meninggikan peluang untuk berkempen, menjual sesuatu dan sebagainya sama ada secara langsung mahupun tidak.

8 teknik di bawah adalah antara yang boleh dipraktikkan untuk mengekalkan pembaca lebih lama di blog anda. Tidak semuanya berkesan untuk setiap blog. Ini adalah kerana ada beberapa faktor lain yang juga turut menjadi faktor bersama misalnya ketokohan pemilik blog, tema perbincangan utama sesebuah blog, masa yang dimiliki pembaca pada waktu itu dan lain-lain lagi.

Bagaimanapun, elok sekali kalau dapat menggunakan gabungan beberapa teknik ini. Blogger besar mengaplikasikan kebanyakan daripadanya. Cubalah mana-mana yang berkesan untuk anda.. 

  1. Permudahkan navigasi blog. Anda seharusnya fokus kepada elemen yang paling penting pada blog anda. hanya tayangkan apa yang memberi impak besar, sementara aksesori blog yang lain hanya akan membuatkan pembaca anda berasa terganggu dan berserabut sahaja. Pelawat menjadi tidak fokus pada pembacaan mereka dan tidak tahu sama ada perlu klik iklan itu atau klik bahagian ini.
  2. Penggunaan warna yang minima. Blog anda seharusnya tidak terlalu berwarna-warni. Pilihan yang paling bagus adalah gabungan dua atau tiga warna tema yang terang. Lebih baik lagi kalau warna untuk setiap seksyen blog anda berbeza. Sebagai contoh – ruangan konten dan sidebar seeloknya tidak berwarna sama.
  3. Gunakan gambar atau imej dalam post. Sudah terbukti dan digunakan secara meluas oleh ramai blogger. Post yang disertakan imej adalah lebih menarik dan melegakan emosi pembaca berbanding post yang hanya mengandungi perkataan demi perkataan sehingga tamat. 
  4. Cipta logo/header dan tagline yang unik. Ini adalah perkara pertama yang mencorakkan tanggapan pembaca terhadap blog anda. Ia memberi kesan yang besar. Jadi jangan abaikan. Ciptalah header atau logo untuk tema blog anda kecuali anda memiliki nama yang sedia unik dan tiada duanya (terpakai dalam kes saya hehee..) untuk dijadikan identiti blog anda. Juga cari satu tagline yang berkuasa dan mampu menggambarkan keseluruhan blog anda dalam satu ayat pendek sahaja.
  5. Tambah butang ‘call to action’. Orang tidak buat kalau tidak disuruh. Jadi tambahkan butang ‘Share to Facebook’ atau ‘Tweet to Twitter’ dalam setiap post anda. Galakkan mereka meninggalkan komen juga seringkali berjaya membina hubungan rapat di antara pelawat dan blogger berkenaan.
  6. Tajuk yang menarik dan beremosi. Kalau tajuk post anda tidak mampu menarik perhatian sesiapa, jangan salahkan orang lain kalau tiada yang membacanya! Apalagi untuk menjadikan mereka lepak lebih lama di blog anda. 
  7. Isi yang mudah difahami. Walaupun anda merasakan post anda cukup bernas dan releven, tidak bermakna ia juga begitu pada pembaca anda. Jadi selalu pastikan informasi yang anda bawakan mudah dihadam oleh semua lapisan masyarakat, mudah diingat dan mudah diakses. Selalu pastikannya!
  8. Pecahkan kandungan kepada tajuk kecil. Kebanyakkan pembaca akan mengimbas dahulu kandungan. Saya tahu kerana saya juga melakukannya. Saya percaya anda juga melakukan serupa. Sekiranya anda menulis sebuah post yang panjang atau membincangkan beberapa topik sekaligus, pecahkan post anda kepada beberapa tajuk kecil dan bezakannya dengan menggunakan ‘bold’ atau jenis tulisan yang berlainan. Penggunaan warna juga elok tetapi pastikan ia tidak menjadi terlalu berwarna-warni. Satu atau dua jenis warna dalam satu post sudah memadai. Ini akan memudahkan pembacaan dan menyenangkan mereka mencari tajuk-tajuk kecil di dalam post tersebut. Misalnya – dalam post ini saya menggunakan ‘bold’ untuk memcahkan daripada satu teknik kepada teknik yang lain.

InsyaAllah dengan mengamalkan petua-petua ini, anda akan mampu mengekalkan pembaca lebih lama di blog dan seterusnya bolehlah ke langkah seterusnya misalnya menjana pencapatan, membina kredibiliti atau lain-lain tujuan yang sudah anda fikirkan. 

Sumber Asal: Bagaimana Mengekalkan Pembaca Lebih Lama Di Blog Anda? - Julmazli Dot Com 
Baca selanjutnya ...

Syaitan Pada Persepsi Tun

Pada 22 Ogos lalu, dalam entri blog Dr Mahathir di chedet.cc/blog/ bertajuk ‘Change’ menyebut 'Better the devil you know than the angel you don’t' yang membawa maksud lebih baik syaitan yang anda kenali daripada malaikat yang anda tidak dikenali’ yang menggesa pembaca supaya tidak menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkannya sama dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Pada sambutan rumah terbuka sempena Hari Raya baru-baru ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata, syaitan yang dimaksudkannya dalam blog itu merujuk kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Dalam pada itu, dia menyatakan malaikat banyak buat salah pada Tuhan.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din berkata, pegangan dan pandangan terhadap syaitan dan malaikat oleh Tun itu adalah silap dan perlu bertaubat. Menurutnya, tiada istilah atau ayat di dalam al-Quran yang menjelaskan malaikat lebih buruk berbanding dengan syaitan.

“Malaikat adalah makhluk yang tidak pernah derhaka kepada ALLAH dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan. “Oleh itu, umat Islam tidak boleh mengambil pepatah Inggeris itu kerana ia boleh merosakkan akidah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pada teman la, wartawan-wartawan tolong lah bantu Tun, iaitu jangan lah tanya kepada dia   perkara-perkara yang bukan bidangnya. Jika ditanya, macam-macam lah perkara bidaah dan merapu yang keluar.   Dia dah berusia. Jika ada peluang nasihatkan dia supaya dia sentiasa berada di jalan yang lurus. Di samping itu, ulama muda seperti Fahtul Bahri Mat Jahaya boleh buat dailog dengan Tun supaya tasawwur Islamnya tepat  dan betul. Buat program pencerahan dengan Tun supaya ketika dia diwawancara tidak lagi merapu.



Baca selanjutnya ...

Jumaat, Ogos 24, 2012

Masjid Sg Lancang Warisan Moyang


Pada 2 tahun lepas, emak teman pernah berpesan kepada teman serta adik beradik supaya imarahkan lah masjid kampong jika sesekali balik ke kampong kerana menurutnya ia adalah satu-satunya warisan moyang Haji Muhammad yang masih ada. 

Menurut sejarah masjid ini, Masjid Ar Rahmaniah ini didirikan pada tahun 1912 dengan diketuai oleh Tn. Hj. Muhammad bin Hj. Abd Rahman bersama orang kampong. Pada 1961, masjid ini telah dibina semula dan dibesarkan dengan diketuai oleh Tn. Hj. Abd Wahab bin Hj Ismail, Tn Hj. Husin bin Hj Abd Aziz dan Tn. Hj Sapwi bin Hj Mohd Saman dengan mendapat bantuan dari Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Pejabat Agama Negeri Perak dengan sokongan orang ramai. Itu sejarah pembangunan dan kegemilangan Masjid Sg. Lanchang, Rungkup Perak. 

Pesanan emak supaya imarahkan tersebut rupa-rupanya bersebab. Baru-baru ini, 2 hari selepas Syawal 1433, semasa menunggu solat isyak di masjid tersebut, berbual mesra di beranda masjid dengan rakan-rakan yang menetap di kampong, mereka mengemukakan isu bilangan jamaah kampong yang berkurangan. Menurut mereka, jika diharapkan orang kampong Sg Lanchang sahaja, kemungkinan nak buat solat Jumaat pun tidak cukup makmum. Ini disebabkan kebanyakan pemuda telah berhijrah ke bandar mencari rezeki dan kehidupan yang lebih baik. Menurut mereka lagi, semasa solat 5 waktu pun ada yang tidak hadir ke masjid walaupun rumah mereka berdekatan. Di samping itu, mereka juga turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tok imam masjid yang telah diberi elaun tidak melaksanakan peranan dan tanggungjawab sepenuhnya sebagai imam. Menurut mereka, tok imam ni kadang-kala ada kadang-kala tiada bertugas terutama solat subuh. Untuk dilantik imam baru, tiada pelapis dan pengganti. Malah AJK masjid pun telah lama tidak bermesyuarat. Menurut sumber dari Ahli Mesyuarat Majlis Agama Islam Perak, mesyuarat pengesahan AJK masjid bagi seluruh negeri Perak belum dijalankan.  Di mana silapnya, teman pun tak tahu. Jabatan Agama Islam Perak sibuk atau pengerusi mesyuaratnya sibuk kot.

Bagi teman, setiap anak Sg. Lanchang di kampong atau di perantauan yang merasakan pentingnya peranan masjid Ar Rahmaniah demi kelangsungan fungsi sosial, ekonomi, pendidikan dan rohani, mari lah kita sama-sama mengimarahkan masjid kita. Jika kita masih diberi tenaga oleh Allah, kita bantu masjid kita supaya bertambah ceria dan bersih. Jika kita masih diberikan masa, kita turun ke masjid meramaikan jamaah, jika kita diberikan kelebihan harta, kita infak (derma) untuk pembangunan masjid.

Baca selanjutnya ...

Isnin, Julai 30, 2012

Meriam Kampong

Di kampong teman setiap menjelang Ramadhan hingga Syawal, meriam telah menjadi tradisi mainan anak muda sejak dahulu.di kala waktu malam selepas solat terawih. Walaupun kos mengoperasi meriam agak tinggi, namun anak-anak muda bermain secara berkumpulan dengan menanggung kos secara bersama. Jika dahulu, setiap rumah memiliki meriam bersaiz kecil seperti meriam tanah dan tin, namun tradisi bermain meriam bersaiz besar seperti meriam buluh, paip dan kelapa amat disukai. Bunyi meriam amat kuat sehinggakan jika kereta diletakkan dalam jarak yang dekat dengan meriam, alarm kereta akan berbunyi akibat gegaran bunyi meriam tersebut.tersebut 


Meriam adalah sejenis mercun buatan sendiri yang popular semasa musim Ramadhan dan perayaan Hari Raya di Malaysia. Seperti juga mercun yang lain, meriam diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan 1957. ironinya, semakin ramai anak muda Melayu beralih kepada meriam yang lebih berbahaya sebagai alternatif kepada mercun komersial yang diharamkan oleh kerajaan.


Sesebuah meriam biasanya terdiri daripada sebatang selinder yang besar serta campuran kalsium karbida dan air. Tindak balas kimia yang terhasil daripada campuran kalsium karbida dan air di dalam selinder atau ruang menghasilkan asetilena, gas yang mudah meletup. Gas asetilena akan meletup apabila didedahkan kepada api. 




Meriam Tin

Meriam Tanah

Meriam Kelapa

Meiam Paip: Cara Memasang 

Meriam Paip Bagan Datuh

Meriam Batang Paip Kg Talang Kuala Kangsar

Meriam Buluh
Baca selanjutnya ...

Sabtu, Julai 28, 2012

Ujian densiti tulang

Baru-baru ini pasukan dari Syarikat Susu Anlene telah mengadakan pameran kesihatan. Salah satu agenda pameran adalah ujian densiti tulang. Inilah pertama kali teman melihat bagaimana ujian ringkas kekuatan tulang dijalankan. Teman tidak melepaskan peluang untuk menjalankan ujian. Keputusan ujian amat membanggakan, namun tetap digalakan mengambil susu untuk menambahkan kalsium untuk kekuatan tulang secara berterusan
Kaki diletakkan di tempat mesin ujian

Keputusan berada di 0

Ujian dilaksanakan adalah kerana lelaki juga boleh mengalami masalah pengurangan kekuatan tulang yang dikenali sebagai ‘osteoporosis.’ Kajian menunjukkan selepas usia 50 tahun, enam peratus lelaki mengalami masalah patah tulang pinggul dan lima peratus mengalami masalah patah tulang belakang akibat osteoporosis dan peratusannya meningkat mengikut peningkatan usia. Apabila umur kian meningkat, bahan mineral seperti kalsium akan mula berkurangan dalam badan. Ditambah dengan masalah penurunan paras hormon testosteron yang menyebabkan tulang rapuh. Lelaki 65 tahun sepatutnya sudah pun menjalani ujian ini. Pun begitu, lelaki yang mempunyai risiko mendapat osteoporosis seperti pesakit yang mengambil ubat ‘corticosteroid’ atau pernah mengalami patah tulang harus menjalani ujian ini lebih awal.
Baca selanjutnya ...

Indahnya Pusat Sumber Lab School UNJ Jakarta








Berada di sebuah Lab School di kawasan Universitas Negeri Jakarta di kota Jakarta seperti berada di sebuah syarikat koperat. Seperti tidak percaya dengan kemudahan yang disediakan, sekolah berkenaan boleh teman beri taraf lima bintang kepada kemudahan pusat sumber mereka. 

Teruja dengan beberapa kemudahan pusat sumber, terfikir teman bahawa persepsi sebelum ini terhadap kemudahan pendidikan di Indonesia tidak lah semunya ketinggalan. Malah ada yang terkedepan berbanding kemudahan di Malaysia.

Dengan fasilitas yang baik, pusat sumber diumpama sebagai parachute atau payung terjun, hanya akan berguna jika dibuka. Begitu juga fungsi pusat sumber, hanya akan berguna jika pengguna menggunakannya secara optimum. Kenyamanan dan ketenangan hiasan dalaman dan ketenangan suasana persekitaran memungkinkan minda menyelidik, berkarya, serta berkongsi pengetahuan. Suasana sedemikian menjadi pemangkin minda yang kreatif dan inovatif.

Namun, sekolah ini hanya terhad kepada murid yang terpilih sahaja dalam ujian kognitif yang dilakukan serta berbayar. Namun, dilihat dengan prasarana sedemikian, bayar pun enggak apa-apa, bisa. 

Ruang Komputer

Ruang Karel

Ruang Bacaan

Ruang OPAC

Ruang Rehat

Khidmat Pembaca

Papan Kenyataan

Rak Buku


Ruang Sirkulasi


Baca selanjutnya ...

Selasa, Julai 24, 2012

Bila Harga Kereta Turun ?

Pengurangan harga kereta sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya umum sebuah parti politik amat disokong. Pada teman, langkah ini amat wajar kerana kesan dari dasar-dasar pengswastaan, telah banyak membebankan rakyat. Kenaikan harga kereta juga adalah akibat daripada kegagalan Dasar Automatif Negara yang digubal oleh kerajaan semasa pada tahun 2006. Pada teman, kerajaan sepatutnya telah lama mendengar dan bertindak mengikut kehendak rakyat umum. Kereta kini telah menjadi 'barang perlu' dalam ekonomi.

Mengikut analisis kesatuan pengguna harga kereta kini tinggi kerana rakyat membayar duti eksais, cukai import dan cukai jualan apabila membeli kereta. Dengan kata lain, harga kereta yang dibayar oleh pengguna telah termasuk bayaran cukai-cukai berkenaan kepada pihak kerajaan. Pengenalan duti eksais sekurang-kurangnya 60 peratus daripada harga kereta pada masa itu dilakukan untuk mengimbangi cukai import yang dikurangkan kerana Asian Free Trade Agreement (AFTA). Jika ini tidak dilakukan, perusahaan automobil tempatan akan tergugat kerana pasaran kereta tempatan amat bergantung kepada pembeli tempatan.

Kesan pengenalan AFTA, di Indonesia harga sebuah kereta AVANZA (1.5 Automatik) lebih kurang RM 62,700. Manakala di Malaysia model yang sama adalah RM 79,603. Kenapa terlalu jauh bezanya?

Namun, soalnya sekarang kenapa harga kereta tempatan juga mahal? Jika ditinjau harga kereta tempatan pula seperti harga PROTON (pada masa artikel ditulis) :
Waja Campro 1.6 CPS MT (RM61,888), Exora MC 1.6 CPS MT B-Line (RM58,998), Inspira 1.8 Manual ( RM82,849) dan Inspira 1.8 CVT (RM89,950). 

Jika dibanding harga AVANZA di Indonesia dengan harga AVANZA dan PROTON di Malaysia, bertuah penduduk di Indonesia kerana menikmati harga AVANZA yang murah. Patutlah semasa melihat dijalan-jalan raya di kota Jakarta Indonesia kereta Toyota amat sesak disebabkan harga mampu beli ditawarkan di pasaran.  
Sedutan dari web  http://www.hargatoyota.com/2011/11/harga-toyota-new-avanza-2012.html 

Sedutan dari web  http://www.blog5zal.com/2012/01/murah-ke-kereta-di-indonesia.html 
Sedutan dari FB perbandingan harga Malaysia dan di US 

Baca selanjutnya ...

Pengurusan SYABAS yang tidak syabas

Sistem ekonomi Malaysia telah banyak memberikan peluang kepada pihak swasta, mengaut keuntungan dari sumberdaya alam yang dimiliki melalui pemberian konsesi atau hak istimewa. Akibatnya,  hasil dari sumberdaya alam itu dinikmati dengan bayaran yang tinggi dan rakyat secara sistematik semakin dimiskinkan melalui pendapatan benar. 

Islam menetapkan sumberdaya alam perlu dikongsi penggunaan secara percuma atau kos yang minimum. Inilah yang pernah dikuliahkan oleh pensyarah teman di Fakulti Pengajian Islam UKM pada 1980an yang juga pernah menjadi penasihat syariah Bank Islam pada ketika itu. Ia memetik hadis rasul di mana Rasulullah saw. bersabda: 

Islam bersyarikat dalam tiga perkara: air, padang rumput, dan api.  (HR. Ahmad)

Seluruh rakyat harus dapat menikmati hasil dari sumberdaya alam tersebut. Oleh itu, negara wajib mengurus sumberdaya alam itu dengan sebaik-baiknya, boleh jadi melalui perusahaan milik negara, untuk kesejahteraan rakyat. Negara tidak boleh sama sekali menyerahkan aset sumberdaya alam kepada pihak swasta. Sebab, tindakan ini seperti menyerahkan sesuatu yang bukan miliknya kepada pihak lain, yang tentu akan merugikan sang pemilik, iaitu rakyat. 

Pengurusan air di negeri-negeri dalam Malaysia telah diswasta sejak zaman Tun Mahathir. Oleh yang demikian bencana terhadap rakyat umum sentiasa menunggu dari aspek kos dan kecekapan pengurusan sumberdaya yang sepatutnya percuma. SYABAS misalnya, dengan pengurusan air yang tidak cekap telah mengakibatkan ancaman kepada pengguna umum. Oleh itu mengswastakan beberapa industri sumberdaya kadang kala perlu diteliti semula atau dipantau secara dekat oleh pemerintah supaya bukan keuntungan menjadi fokus tetapi kebajikan umum menjadi prioriti.
Baca selanjutnya ...

Isnin, Julai 23, 2012

Kepentingan Menulis Blog

Mata pena lebih tajam dari mata pedang. Perumpamaan ini selalu didengar untuk menunjukkan kehebatan pengaruh penggunaan bahan penulisan kepada masyarakat umum. Oleh itu, berbondong-bondong lah masyarakat menulis untuk menyampaikan idea, perasaan dan berbagai mesej melalui penulisan. 


Pada masa kini penggunaan blog menggantikan pena telah diketahui umum. Impak kepada penulisan blog dan web telah mempengaruhi pembaca. Membuat dan menulis blog bukanlah sesuatu yang susah. Ia adalah mudah jika kemudahan computer dan internet tersedia. Oleh itu, sebagai ahli akademik, ahli sosial dan ahli politik dan sesiapa sahaja telah meneroka bidang penulisan untuk melebarkan pengaruh. 



Bagi orang-orang politik penggunaan blog amat penting bagi menyampaikan mesej dan maklumat terkini dalam kalangan pengikut dan pengundi. Namun, kadang-kadang untuk belajar ilmu membina blog amat sukar bagi mereka. Jalan mudah adalah mengupah kenalan atau orang kepercayaan untuk menulis bagi pihak mereka. Jika ini dilakukan, risiko dan bahaya sentiasa berada di hadapan jika orang tersebut berpaling tadah. Ini lah apa yang berlaku kepada Ketua Menteri Melaka. 


Oleh itu, belajarlah selagi ada kesempatan senjata moden dalam menghadapi era maklumat dalam Generasi Y.

Ahmad Faisal Mohd Yunos, 44, penulis blog KM Melaka menerima surat pelantikan pada 13 Mei 2008 dengan gaji bulanan sebanyak RM3,000. Bagaimanapun, dia hanya dibayar kurang RM1,000 setiap bulan. 


Baca selanjutnya ...

Selasa, Julai 17, 2012

Konvensyen KIK IPGM 2012

Pada 17 hingga 19 Julai 2012, Institut Pendidikan Guru buat julung-julung kali telah mengadakan konvensyen KIK. Sebanyak 16 kumpulan telah bertanding dari seluruh negara. Teman telah diberi kepercayaan dilantik menjadi panel hakim dalam majlis tersebut. Semua kumpulan telah menunjukkan kehebatan kumpulan masing-masing dalam mengemukakan projek-projek yang kreatif yang memberi impak besar kepada organisasi. Selain mengaplikasikan kaedah dan alat kualiti dalam pengurusan, kumpulan-kumpulan telah menunjukkan kematangan dalam persembahan tersebut. Tahniah kepada kumpulan IMAN (gambar sebelah) dari IPG Kampus Pendidikan Islam yang telah menjadi juara keseluruhan Konvensyen KIK IPGM 2012 kali pertama. Semoga kecemerlangan yanglebih besar akan dilakar pada masa akan datang.

Panel Hakim KIK
Ucapan Penutup KIK
Baca selanjutnya ...