Isnin, September 05, 2011

Al Fatihah Assyahid Noramfizul

Jurukamera BernamaTV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor yang terbunuh di Somalia boleh disifatkan sebagai mati syahid kerana Allahyarham terkorban semasa misi membantu meringankan penderitaan dan kesengsaraan rakyat Somalia yang majoritinya beragama Islam. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sebagai umat Islam, Allahyarham layak diberi pengiktirafan tertinggi itu kerana turut telah membuka mata rakyat negara ini akan penderitaan yang dialami rakyat Somalia. 

Pada hari sebelum kejadian teman melihat di kaca TV bagaimana seorang ketua rombongan bersama-sama dengan rakyat Somalia dengan ceria menunjukkan isyarat tangan 1Malaysia. Berkata hati kecil teman, adalah baik jika jari telunjuk yang diisyaratkan itu menunjukkan Allah yang satu sebagai ikatan persaudaraan sesama Islam. Allahyarham mempunyai satu fikrah satu aqidah dan satu niat dengan teman dalam menjalankan misi . Di mana, harapannya umat Islam di Somalia dan seluruh dunia tidak diancam penyakit kemurtadan akibat kemiskinan dan kebuluran.


Pengalaman saat terakhir Allahyarham

“Sebelum membuat liputan di kem penempatan berkenaan, kami berdua sempat bergambar di lokasi ‘Black Hawk (helikopter) down’ ditembak jatuh, selepas arwah beriya-iya mengajak bergambar di situ kerana katanya, entah bila kami akan dapat datang ke Somalia lagi,” kata Aji Siregar Mazlan, 26, jurukamera TV3 yang cedera dalam insiden yang turut meragut nyawa jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, di sini, jam 10.30 malam, kelmarin.

Beliau dan arwah terkena tembakan dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan selepas selesai membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di sebuah kem penempatan rakyat Somalia, jam 5.30 petang (waktu Somalia). Seramai 55 rakyat Malaysia, termasuk wakil media, berada di Mogadishu bagi menghulurkan bantuan makanan dan perubatan bagi rakyat Somalia yang menderita kebuluran.

Menceritakan tragedi itu, Aji berkata dia dan arwah duduk di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama empat lagi rakan media daripada TV3, Bernama TV dan ntv7, manakala empat kakitangan RTM menaiki kenderaan lain di depan, bersama kumpulan keselamatan.

Katanya, tembakan berlaku sebaik kenderaan membelok ke laluan masuk hotel dan mereka semua panik serta pemandu cuba memecut masuk tetapi ada halangan berikutan hotel itu mempunyai dua pagar kawalan keselamatan.

“Selepas berjaya masuk, beberapa orang di situ cuba memberi rawatan, namun gagal menyelamatkan nyawa Abang Faizul.

Aji berkata, ketika kejadian, dia mendengar satu tembakan sebelum berasa panas di lengan kanannya dan sebaik memeriksa mendapati lengannya luka seperti kesan terbakar.

“Saya kemudian menepuk paha arwah yang duduk di kanan saya untuk memberitahu perkara itu, namun arwah hanya diam dan sejurus itu juga kepalanya terlentok ke bahu saya.

“Ketika itu saya baru sedar arwah turut terkena tembakan dan saya nampak bahunya berlubang serta darah mula keluar dengan banyak,” katanya yang masih terkejut dengan tragedi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda akan disemak. Terima kasih