Sabtu, September 10, 2011

Sambut Merdeka Ke 54 Kali Terakhir

Berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu “tidak pernah terjajah”, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British, dakwa sejarahwan Profesor Datuk Dr Zainal Kling.

“Fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik,” katanya.

Katanya lagi, sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.

“Dinaungi tidak sama dengan kolonial… Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

“(Negeri-negeri) yang lain adalah dinaungi (atau) dilindungi… Sejak mula Tanah Melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Ini fakta sejarah dan perspektif sejarah (itu) perlu diubah.

“Jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar,” katanya di Putrajaya hari ini.


HAHAHAHA... Oleh itu selama 54 tahun kita telah menjalankan kerja sia-sia menyambut MERDEKA

Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana bangsa kita dan Tanah Melayu tidak pernah dijajah cuma kita lantik Tuan British untuk mengusahakan Tanah Melayu
Hebatnya Tanah Melayu, apabila rakyatnya berganding bahu dengan kerajaan British membangunkan negeri-negeri di Tanah Melayu. Jangan sekali-kali kita meragui sejarah kehebatan melayu. Segala cukai yang dibayar kepada pentadbiran British itu adalah hadiah dan sedekah, setelah berasa sangat terhutang budi kepada British yang sanggup datang dari jauh ke Tanah Melayu demi untuk hidup bersama dengan orang melayu. Segala tanah ladang dan estet yang diusahakan oleh British dengan memasukkan orang-orang India dan orang cina di lombong-lombong adalah usahasama yang sangat menguntungkan.

Beruntungnya Tanah Melayu, tidak pernah dijajah British malah menjadi rakan kongsi 'melangsaikan' segala hasil hutan, segala hasil ladang, segala hasil padi, hasil lombong bijeh dan apa jua usahasama dikongsi sama-rata. Segala kekayaan hasil perniagaan dalam negeri di Tanah Melayu dibahagikan sama-rata, separuh untuk Queen of England, separuh lagi untuk raja-raja melayu. Untuk rakyat pula, akan mendapat suku daripada separuh punya separuh dibahagi dengan separuh.

Sungguh mewah hidup kita ketika era 'perkongsian' dengan British. Setiap kali tiba musim perayaan, rakyat akan berpesta bersama-sama dengan pegawai British dan tenteranya. Ia termasuklah tentera gurkha dan Fiji. Kita saling ziarah menziarahi, rumah terbuka di sini dan sana. Tentera British yang ada dalam negara adalah untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara dari dicerobohi penjajah lain dan komunis. Mereka tidak jajah, cuma jaga sahaja.

Orang melayu menjadi polis jaga orang kampung, kerani dalam pejabat pemerintahan British, bergaji besar berumah bungalow. Walaupun berumah bungalow itu sebab orang melayu menjadi orang gaji, menjadi drebar, tukang kebun dan tukang pencuci najis kepada pegawai British.
Negeri Tanah Melayu ini melayu yang punya, tetapi hebat kerana boleh dikongsi bersama British hinggakan kita memanggil mereka sebagai Tuan, sambil berdiri tegak dan menunduk hormat. Baiknya orang melayu kita, kaya dengan budi bahasa.

Ketika Jepun menyerang Tanah Melayu, tentera British bermati-matian mempertahankan Tanah Melayu. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa demi Tanah Melayu sehingga amat payah bagi pihak Jepun untuk menjajah, opss maksudnya menjadi rakan kongsi di Tanah Melayu. Orang melayu ketika itu juga membantah kemasukkan Jepun walaupun adanya slogan asia untuk asia, kerana orang melayu di zaman itu rupa wajahnya tidak seperti orang asia tetapi pan-europian-asia.


Ketika Jepun tewas di Tanah Melayu, orang-orang melayu begitu merindui kehadiran British dan tenteranya lalu mengalu-alukan kedatangan semula British ke Tanah Melayu. Orang melayu dan Tanah Melayu tanpa kehadiran British bagaikan polong tak bertuan. Panggilan Tuan ke atas pegawai British begitu mengasyikkan sekali.

Oleh kerana baiknya rakyat Tanah Melayu terhadap British sepanjang lawatan mereka selama beberapa ratus, maka British menghadiahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu melalui sekumpulan elit melayu bangsawan yang taraf kehidupannya hampir setaraf dengan British. Biasanya negara yang diberi kemerdekaan adalah negara yang telah dijajah, tetapi Tanah Melayu cukup istimewa di mata British. Kemerdekaan yang diberi kepada Tanah Melayu adalah di atas dasar 'you help me, I help you'.


Tanah Melayu akhirnya merdeka dan menjadi satu-satunya negara yang merdeka tanpa penjajahan. Lebih istimewa, Tanah Melayu yang akhirnya membentuk negara Malaysia telah dijemput menyertai negara-negara Komanwel. Mengapa istimewa? Kerana semua negara yang menyertai negara-negara Komanwel adalah merupakan negara bekas jajahan British, kecuali Malaysia.

Sebagai tanda terima kasih Malaysia ke atas British kerana meluangkan masa yang begitu lama berkhidmat di negara kita, maka segala undang-undang dan perlembagaan negara dibangunkan mengikut acuan British termasuklah menjaga semua kepentingan-kepentingan British. Ia berlanjutan hingga ke hari ini apabila masih banyak harta dan kekayaan dalam negara ini milik British dan bangsa asing.

Sehubungan itu, janganlah kita menyorokkan fakta penting betapa negara kita tidak pernah dijajah oleh British, malah diberi layanan yang cukup istimewa. Setiap rakyat yang hidup ketika British menumpang-tadbir negeri Tanah Melayu akan berasakan kehidupan ketika itu sangat baik biarpun berbanding hari ini kerana ketika itu kita mempunyai Tuan. Melayu yang punya Tuan adalah melayu hebat.

Sesungguhnya fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik. Malaysia Boleh !

Edyes @ edyesdotcom 
satira kebangsaan

p/s teringat kuliah sejarah oleh Cg Ridzuan Othman (skrg Prof UM) dengan selamba menceritakan tentang terbitnya kata nama 'keling' zaman British dulu. Tentu Prof Zainal boleh merujuk kepada Prof Ridzuan di mana pula terbit asal usul perkataan 'kling' pula.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda akan disemak. Terima kasih