Selasa, Disember 25, 2012

Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah

Sarana (tools) Ibu Bapa 

Selama sehari suntuk pada 18 Disember,2012 lepas berlangsung Taklimat Sarana Ibu bapa dan Sarana Sekolah anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara di Meru Raya Ipoh bagi membincangkan Anjakan ke 9 PPP iaitu Bekerjasama dengan Ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta.Wacana ilmiah ini dihadiri kebanyakan Pengetua/Guru Besar dan YDP PIBG sekolah Rendah dan Menengah Daerah Kinta Utara. Dengan PPPM 2013-2025, peranan Ibu bapa dalam membantu sekolah dalam bidang yang dibenarkan seperti termaktub dalam pekeliling KPM bil.5/2001 Batas dan Bidang Kuasa PIBG, telah disusun dan diberi satu garis panduan yang jelas. 

Sarana ini dapat memberi panduan kepada ibu bapa menilai diri mereka sejauh mana mereka telah melaksanakan tanggung jawab kepada anak dan sekolah.

Dari aspek tanggungjawab kepada anak-anak, sarana telah menyediakan satu soal selidik yang dapat membantu ibu bapa menilai diri mereka dari aspek:
  1. Penyediaan suasana pembelajaran di rumah
  2. Interaksi sosial dengan anak
  3. Komunikasi dengan anak
  4. Sokongan terhadap kecemerlangan anak
Dari aspek tanggungjawab kepada sekolah pula, sarana telah menyediakan ruang secara rasmi kepada semua ibu bapa untuk terlibat dalam pembelajaran anak-anak di sekolah. Terdapat 2 cara yang boleh mereka sumbang kepada sekolah iaitu:

1. Terlibat dengan Kumpulan perbincangan Ibu Bapa dalam:
  • menyediakan suasana pembelajaran disekolah, 
  • interaksi sosial, 
  • komunikasi dengan anak dan 
  • sokongan akademik
2. Terlibat dengan khidmat bantu sekolah dalah bidang
  • akademik
  • kokurikulum
  • bimbingan kerjaya
  • kebersihana, keceriaan, keselamatan dan kesihatan
  • penyelenggaraan sekolah
  • motivasi/ disiplin
  • kumpulan sokongan ibu bapa
  • mengiringi pasukan sekolah
  • meluangkan masa untuk sekolah
Kesefahaman dan keselarian tugas antara pihak sekolah dan PIBG menjadi indikator kemajuan sekolah kerana salah satu ciri kecemerlangan ialah mengekalkan hubungan yang harmoni bersandarkan konsep keikhlasan dan kepercayaan (sincerity and trustworthy) untuk melihat pencapaian anak-anak dalam pembelajaran di sekolah .

Sarana Sekolah 

Peranan Pengetua/Guru Besar selaku pemimpin, pengurus dan pentadbir menjadi cermin kemajuan sekolah. Kegagalan mengurus dan mentadbir merencat pembangunan pendidikan anak-anak . Tugas Pengetua/Guru Besar ialah membentuk budaya sekolahnya menjadi sebuah organisasi yang unggul dan berwibawa melalui kerjasama padu setiap warga. Justeru Pengetua/Guru Besar perlu memiliki ilmu dan kemahiran memimpin, mengurus dan mentadbir bagi memperkasa sumber manusia untuk mencapai matlamat organisasi yang ditetapkan. 

Sarana sekolah telah menyediakan 6 elemen yang perlu diteliti oleh pengurus sekolah. Mereka perlu memastikan 6 elemen ini disediakan dengan baik. Elemen tersebut adalah:
  1. Iklim sekolah yang kondusif dari aspek fizikal, sosial, emosi da akademik
  2. Komunikasi yang berkesan kepada ibu bapa, guru dan sekolah.
  3. Sokongan terhadap kejayaan pelajar dari aspek merancang, melaksana dan menilai
  4. Tanggungjawab bersama dengan ibu bapa, alumni, dan komuniti
  5. Keputusan bersama
  6. Kerjasama dengan komuniti
Jika kesemua elemen di atas dapat diikuti dengan baik dan cemerlang, kerjasama dan kolaborasi antara semua pihak akan subur dalam melaksanakan tanggungjawab untuk memberi pendidikan cemerlang kepada anak-anak.
Baca selanjutnya ...

Ahad, Disember 23, 2012

Bersama Chef Kamarul

Semalam 22 Dis 2012 kampung teman mengadakan pertandingan memasak nasi goreng yang dianjurkan Rukun Tetangga. Sambutan yang amat meriah telah mengeratkan tali silaturahim dalam kalangan penduduk qariah @ kampung teman. Pertandingan ini julung-julung diadakan dengan berbagai acara turut diadakan seperti pameran jualan dan kutipan derma Gaza dengan kerjasama akhbar Sinar Harian.

Panel hakim pertandingan masakan ini telah disempurnakan oleh celebriti Chef Kamarul. Sebenarnya chef Kamarul ini memang berasal dari kampung teman juga. Jadi sambutan tukang-tukang masak kampung teman amat menggalakkan dari peringkat umur. Berbagai nama nasi goreng telah diperkenalkan seperti Nasi goreng mama, nasi goreng ikan perap, nasi goreng secret recipe dan sebagainya.

Di akhir acara Che Kamarul telah membuat demonstrasi masakan kepada orang-orang kampung teman. Teman nak ucap syabas kepada orang-orang kampung serta penganjur yang telah memberi kerjasama dalam menjayakan program tersebut.





Baca selanjutnya ...

Jumaat, Disember 14, 2012

CATS Sembilan Nyawa Inovasi

Sifat berinovasi berasal dari rasa ingin tahu yang besar. Buku CATS: The Nine Lives of Innovation telah mengaitkan rasa ingin tahu dengan kucing. Kucing adalah haiwan yang memiliki rasa ingin tahu yang sangat besar yang kadang-kadang membahayakan nyawanya.  Walaupun demikian, kucing tetap selalu ingin tahu dan mencuba banyak hal. Namun, rasa ingin tahu tidak pernah membunuh kucing.

“Pada dasarnya kita adalah sumber segala inovasi.” –Stephen Lundin 

Setiap orang memiliki potensi untuk melakukan inovasi supaya berubah kepada hidup yang lebih memuaskan dan bermakna.  Namun ada 4 halangan yang harus dihadapi untuk berinovasi. Mengatasi halangan tersebut bererti meningkatkan hasil inovasi kita. 4 halangan tersebut adalah: 
  • GANGGUAN. Keraguan dan rasa takut merupakan gangguan yang mengekang kita untuk berinovasi.
  • NORMAL. Keadaan normal tidak akan dapat menciptakan kemampuan berinovasi. Inovasi memerlukan kita keluar dari kebiasaan.
  • KEGAGALAN. Kita melihat kegagalan sebagai keburukan dalam kehidupan. Sebenarnya kegagalan adalah proses pembelajaran.
  • KEPEMIMPINAN MENYUBUR KREATIVITI. Ada teknik kepemimpinan yang kondusif untuk berinovasi, ada pula yang menjadi racun. 

Setelah kita mampu menghadapi 4 halangan tersebut, ada 9 cara untuk meningkatkan inovasi peribadi :
  1. Menciptakan persekitaran ramah inovasi.  
    Halangan terbesar untuk menciptakan persekitaran ramah inovasi bukan dari luar, malah dari dalam diri sendiri. Fikiran sedar dan bawah sedar kita seringkali dipenuhi dengan keraguan dan rasa takut. Setiap melangkah, ada suara yang memperlekeh. Suara itu bukan dari orang lain tetapi kita sendiri seperti: “Ingat kebodohan lepas yang kamu lakukan?”  Suara-suara seperti ini harus dicegah dengan melakukan inovasi walau apa pun yang terjadi.
    Halangan lain yang berat adalah dari luar diri seperti keluarga dan rakan. Kadang-kadang inovasi kita tidak dinilai seperti yang dikehendaki.

    Ide awal sebuah inovasi biasanya rapuh. Oleh itu masa diperlukan untuk membuatnya lebih kuat. Sebelum gagasan tersebut menjadi kuat, sebaiknya simpan dulu untuk diri sendiri dan lakukan yang terbaik untuk menguatkannya. Ketika idea tersebut telah menjadi sebuah inovasi yang mantap, barulah bincangkan dengan keluarga atau rakan.

    Pada saat tidur sebentar (napping), fikiran bawah sedar memberikan gagasan yang disampaikan dengan tegas. Ketika itu, alam bawah sedar menguraikan secara detail langkah-langkah kreatif dalam mengembangkan sebuah gagasan. Dan ketika bangun, sebuah inovasi telah tercipta! Jadi, jangan anggap remeh pada kekuatan tidur sebentar (napping).

    Jika suara2 sumbang berasal dari persekitaran kita, ciptakan sesuatu dalam kepala kita yang tugasnya membungkam suara-suara tersebut. 

  2. Siap melakukan inovasi. 

    Kita perlu sentiasa bersedia melakukan inovasi walaupun kita tidak tahu bila peluang itu akan muncul. Namun, inovasi lebih baik jika kita miliki arkib pengetahuan dalam minda kita yang dikumpulkan secara proaktif.

    Ketika kita berinteraksi dengan orang lain,  pengetahuan sedia ada kita dan orang tersebut akan bercanggahan dan melahirkan inovasi. Lebih banyak perbezaan pendapat mengenai suatu hal, lebih besar peluang untuk berinovasi.

    Mempersiapkan arkib pengetahuan secara proaktif boleh dilakukan seperti dengan menggunakan Mind Map

  3. Tahu bahwa inovasi berasal dari sesuatu yang tidak normal.

    Untuk berinovasi kita kena keluar dari situasi normal atau kebiasaan. Untuk keluar dari normal, provokasi fizikal, sosial dan intelektual diperlukan.

    Provokasi fisikal seperti kejadian, objek, paparan tertulis dan gangguan kepada akal sihat.

    Provokasi sosial adalah kata-kata yang diucapkan oleh orang yang berlainan pendapat. 

    Provokasi intelektual adalah hasil dari permainan fikiran, menggunakan lawan kata, kata2 cabaran serta tidak logik

  4. Menyambut provokasi fisik

    Tahun 2007, sebuah jambatan di Menneapolis, Minnesota, runtuh. Ini merupakan tragedi yang membuka mata dunia.  Jambatan ini digunakan oleh 250.000 orang setiap hari dan paling sering dilalui di Minnesota. Setelah runtuh, orang-orang harus mencari jalan baru untuk berulang alik sehingga banyak jalan-jalan baru yang ditemui.

    Dipaksa keluar dari kebiasaaan menyebabkan dipertemukan dengan banyak hal yang bermanfaat dan menjadi perkara baru dalam kehidupan. Dan semuanya dimulai dengan provokasi fizikal.

  5. Menyambut provokasi sosial

    Provokasi sosial berasal dari interaksi dengan manusia lain. Memberi pendapat, merupakan teknik inovasi yang paling mudah dan banyak digunakan.

    Provokasi sosial berbeza dengan provokasi intelektual kerana provokasi sosial memerlukan percakapan. Provokasi intelektual berasal dari proses menentang pemikiran kita sendiri yang boleh dilakukan sendiri mahu pun dalam kumpulan. 

    Provokasi sosial yang diperlukan untuk inovasi selalu muncul dalam bentuk kata dalam tulisan, eskpresi dan tindakan orang lain selama proses interaksi. Oleh itu, interaksi antara manusia boleh menjadi sumber inovasi yang hebat. 
  6. Meningkatkan provokasi intelektual

    Provokasi intelektual didorong oleh gagasan. Sifatnya sangat kognitif seperti soalan “Bagaimana jika pohon tidak berakar?”  Provokasi intelektual sangat penting kerana kita dikendalikan oleh apa yang kita anggap normal.Untuk meningkatkan provokasi intelektual, buat sebuah senarai kemungkinan dan  pertimbangan kejayaan & kegagalannya. 
  7. Berkata “Sungguh menarik!” 

    Salah satu penghalang inovasi adalah salahfaham dan rasa takut gagal ketika mencuba sesuatu.  Seharusnya, kegagalan bukanlah sesuatu yang harus dihindari, malah disambut kerana banyak hal yang dapat dipelajari dari kegagalan.

    Ketika kegagalan terjadi, sambutlah dengan berkata,” Sungguh menarik! Apa yang boleh saya pelajari dari hal ini?” 

    Mungkin kita harus mencatat dan menganalisis kegagalan kita untuk melakukan inovasi dan berjaya di akhirnya.

  8. Inovator gagal di awal dan gagal dengan baik

    Mungkin anda ditugaskan untuk menyelesaikan sebuah projek dengan menyiapkan beberapa konsep. Dalam menyiapkan beberapa konsep, anda malah dikritik sana sini. Jangan menyerah dan putus asa. Sebenarnya anda telah gagal di awal dan gagal dengan baik. 

    Semua kritikan adalah input yang sebelumnya mungkin tidak pernah difikirkan.  Sebenarnya, anda telah membuka jalan untuk diri sendiri dalam mempersiapkan projek tersebut dengan ide-ide yg lebih cemerlang. Anda sudah memiliki ide-ide tersebut tanpa harus memikirkannya dengan susah payah. Dan semua tercapai karena kegagalan! 

  9. Penginspirasi inovasi memahami faktor pemangkin

    Dalam sebuah organisasi, pemimpin atau penginspirasi inovasi sebaiknya memahami faktor pemangkin kerana inovasi berasal dari dalam diri maka inovasi perlu disokong, dikembangkan dan diundang. 

    Pemimpin yang memberikan peluang kepada ahli untuk memilih peringkat penglibatan mereka akan menghasilkan kolaborasi & komitmen. Kolaborasi dan komitmen akan menghasilkan energi penggalak, bahan utama dari inovasi.

    Kita semua memiliki kemampuan untuk melakukan inovasi dan menikmati perasaan bahagia kerana telah menciptakan dan menyumbang. Inovasi akan membawa makna dan perkara baru ke dalam kehidupan. 
Stephen C. Lundin, Ph.D

Rasa ingin tahu kucing
Pantang mengalah
Baca selanjutnya ...

Ahad, Disember 02, 2012

Dua Masalah Besar DS Najib

Pada pandangan teman ada dua masalah dalaman yang besar dan kritikal sedang dihadapi oleh DS Najib. Bila mendengar soalan cepumas kepada para perwakilan semasa ucapan penggulungan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 iaitu:

Bila anda tidak dipilih sebagai calon, apakah tindakan anda:
  1. Sokong sepenuhnya
  2. Sokong
  3. Tak buat Kerja apa-apa (buat de')
  4. Sabotaj
  5. Lompat parti.
Soalan ini seperti Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak dapat menyembunyikan kebimbangan terhadap kemungkinan respon dari anggota yang tidak terpilih sebagai winnable candidate dalam pilihan raya umum akan datang. Ini adalah masalah yang teman telah bangkitkan sejak dulu di Perhimpunan Agung UMNO 2011. Adakah mereka ini sanggup dan layak menjadi Khalid Al Walid yang dilucutkan jawatan panglima dan diganti dengan orang muda?

Walau beliau percaya bahawa sokongan umum akan memihak kepada BN, Najib tetap bimbang:
"Saya percaya musuh kita tidak kuat... saya yakin orang ramai akan memihak kepada BN... yang saya khuatir satu sahaja.... sikit sahaja.. soal kita sesama kita" 

Masalah kedua yang dihadapi oleh Presiden UMNO yang mungkin didiamkan oleh beliau adalah persepsi negatif terhadap gerak-geri isterinya dan ditambah pula isu Altantuya. Teman melihat bahawa ini merupakan liabiliti yang sekiranya tidak ditangani, akan menyebabkan UMNO akan menghadapi masalah.

Kempen di era mellinium ini adalah bagaimana kebijaksaan menggunakan isu untuk membina persepsi dalam kalangan pengundi. Penggunaan medium laman sosial, web dan Youtube dalam alam virtual telah memberi kesan kepada pembinaan pengaruh. Persepsi warga siber akan terus menjadi kepercayaan jika diikuti bukti di alam siber dan ketekalan isu disebut tanpa disangkal dengan bukti. Kejatuhan kerajaan Tunisia, Mesir dan lain-lain negara Arab terbukti bagaimana keberkesanan penggunaan komunikasi maya.

Temubual dan percakapan teman dengan orang kampung dan orang yang berada di atas pagar, persepsi mereka kepada isteri PM adalah negatif. Jadi para pewakilan perlu menghadapi persepsi dengan bukti untuk penyangkalan.

Baca selanjutnya ...

Selasa, November 27, 2012

Resepi Bonda - Masak Merah Telur Ayam

Anak-anak teman kalau Atok dari kampong datang, mereka akan menunggu-nunggu masakan Atok terutama Masak Merah Telur Ayam. Kalau dikira-kira, bukan umi mereka tidak pernah masak resepi tersebut, namun kata mereka, masakan Atok lagi sedap. Memang lah masakan emak teman ni memang sedap berbanding chef-chef yang ada di dunia ini. Jadi pada anak-anak teman, pada kali ini diperturunkan cara Atok masak Masak Merah Telur Ayam, kalau nak cuba-cuba.

Kalau isu lepas teman dah perturunkan cara masak nasi briani, kita boleh lah digunakan telur masak merah ini sebagai lauknya. Jika suka, telur ini boleh diganti dengan ayam goreng untuk dijadikan Masak Merah Ayam.

Bahan-bahan (Untuk Makan 4-5 orang)

  • Telur 10 biji (boleh diganti dengan ayam sebelah dipotong-potong)
  • Minyak masak untuk goreng dan menumis 
  • Bawang merah 5 hingga 7 biji
  • Bawang putih 3 hingga 5 ulas
  • Cili yang telah digiling satu camca besar
  • Cili maggi/life atau lain-lain jenama secukup rasa
  • Air 4 gelas besar
  • Sedikit garam secukup rasa
  • Sedikit gula pasir secukup rasa
  • daun sop sebagai hiasan
Cara masak Telur Ayam Masa Merah
  • Panaskan minyak untuk menggoreng telur (boleh juga diganti dengan ayam) 

  • Goreng telur yang telah dibasuh

  • Setelah selesai telur digoreng, tumis sedikit minyak masak

  • Setelah minyak panas, masukkan bawang merah dan bawang putih yang telah dihiris ke dalam kuali

  • Setelah beberapa ketika, masukkan secamca atau secukup rasa cili yang telah digiling.
  • Jika telur digantikan dengan ayam, jumlah chili ini perlu banyak sedikit.

  • Setelah itu masukkan sedikit cili botol secukup rasa.

  • Tambahkan air ke dalam kuali. Jika berkehendakkan kuah yang banyak, kuantiti air perlu ditambah.

  • Masukkan gula secukup rasa

  • Masukkan pula garam secukup rasa.

  • Biarkan beberapa ketika, sehingga menggelegak.

  • Masukkan telur atau ayam yang telah digoreng ke dalam kuali

  • Setelah beberapa ketika, masak merah ini sedia dihidang.

  • Masakan telah tersedia.



Baca selanjutnya ...

Jumaat, November 23, 2012

Skrip Sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu


Bersama  Jefri Talib Penulis Skrip
Pi Mai Pi Mai Tang Tu
Teman memang peminat sitcom tv Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Sitcom ini bukan sahaja menjadi trademark malah telah menjadi benchmark untuk mengukur kejayaan karya sesebuah sitkom di negara ini (The Star 20 Ogos 2008). Sitkom ini masih memegang rekod sebagai sitkom televisyen paling lama disiarkan di tv dalam negara ini, iaitu selama 15 tahun (1984-1999). 

Baru-baru ini teman berpeluang bersembang-sembang dalam Kursus Penulisan Skrip Drama TV dengan penulis skrip sitcom Encik Jefry Talib, seorang penulis skrip dan pengarah sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan “2+1″ yang juga pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan, Malaysia (ASWARA). 

Hasil sembang teman, rupa-rupanya tanggapan teman terhadap sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu adalah salah dan meleset. Teman beranggapan seperti orang lain iaitu sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu sebagai sebuah persembahan secara improvatif, iaitu tidak mempunyai skrip. Pihak pengarahan hanya memberi cerita pokok dan para pelakonnya mereka-reka sendiri lakonan dan dialog secara spontan. Rupa-rupanya pandangan tersebut adalah salah dan meleset. 

Naskah Skrip Pi Mai Pi Mai Tang Tu
Kejayaan dan kekuatan sitkom ini adalah terletak skripnya. Penulis skrip awal sitcom ini, Hatta Azab Khan telah berjaya mengungkap sebuah kisah benar sekumpulan masyarakat yang hidup di pinggir kota raya yang ingin bersaing dengan masyarakat kota yang lain. Walaupun senario biasa namun kerana skrip yang luar biasa telah menjadi salah satu faktor utama kejayaan siri sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Kemudian skrip sitkom ini turut ditulis oleh beberapa orang penulis lain yang juga mempunyai keupayaan bakat untuk menggarapkan isu-isu yang berkait rapat keadaan semasa seperti Adibah Amin, Zakaria Ariffin, Johan Jaafar, Sujiah Salleh, Zulkefli Said dan Jefri Talib sendiri. 

Tidak dinafikan, faktor lain kejayaan sitkom ini ialah kerana para pelakonnya yang berbakat, serius dalam melakukan latihan dan perhubungan sesama mereka mempunyai chemistry. Sebelum mengadakan sesuatu persembahan, mereka mengadakan latihan dengan begitu serius dan berterusan. Sehingga kini tidak ada pengganti bagi artis seperti Zami Ismail, Sabri Yunus, Imuda, Khatijah Tan, Ahmad Busu, Sathia dan Angeline Tan, Syahrizat Ahmad (Abon) dan Sulaiman Yassin (Mat Over).

Teman membuat refleksi tentang subjek yang teman ajar Kursus Teknologi Pengajaran berkaitan dengan tajuk penghasilan bahan video dan audio. Penyediaan story board dan skrip amat penting dalam penghasilan sesuatu karya dalam bentuk rakaman atau   'live'. Sdra Jefri  Talib telah meneroka kejayaan dalam bidang ini  penulisan skrip dan pengarahan Pi Mai Pi Mai Tang Tu semasa berumur 25 tahun. Kejayaan dan kecemerlangan yang telah beliau tempa perlu ada pelapis. Oleh itu, kemahiran ini perlu diperturunkan supaya dapat melahirkan, membentuk dan memperkayakan tenaga profesional yang mampu menulis skrip yang dapat menyampaikan mesej dengan berkesan. Pra syarat kejayaan adalah minat dan  kesungguhan.

.


Baca selanjutnya ...

Ahad, November 18, 2012

Sistem Khilafah Islam 'Ala Minhajin Nubuwwah

Dalam kesibukan PAS bermuktamar di PUTIK Kelantan membincangkan isu politik setempat dan antarabangsa, dalam kesibukan BN merayakan Deepavali orang-orang Hindu di SG Siput, namun rakyat Palestine di bumi Gaza terus dibunuh dan dibelasah tanpa peri kemanusiaan. Sehingga blog ini ditulis lebih 45 orang awam Gaza telah dibunuh. Bermakna sejak 14 November 2012 hingga 17 November 2012 setiap 2 jam, seorang insan dibunuh dengan kejam. Apakah kita di bumi Malaysia khususnya tidak terdetik dihati atau merasakan 'marah' ke atas keiblisan Israel? Atas dasar kemanusiaan, atas dasar aqidah, atas dasar perpaduan ummah, adakah kita di bumi Malaysia tiada rasa belas kasihan?

Pada teman, kita kurang merasai kerana bukan wilayah atau negara kita. Ini adalah akibat dari sejak runtuhnya khilafah Usmaniyah diruntuhkan oleh agen Yahudi. Ini adalah kesan dari dasar pemecahan negara di dunia kepada wilayah kecil secara pemerintahan berotonomi. Oleh itu, perlu dibangunkan semula sistem KHILAFAH dalam kalangan negara-negara Islam. 

Perjuangan penegakan kembali khilafah Islam, telah dimulai sejak hampir seabad yang lalu. Sejarah telah mencatatkan bahawa ada beberapa insan mendakwakan diri sebagai khalifah, seperti Husein bin Ali dari Hijjaz, dan Raja Fuad dari Mesir. Namun, mereka tidak diakui sebab dianggap tidak mewakili kekuasaan umat Islam keseluruhan.

Negara khilafah adalah negara khilafah ‘ala minhajin nubuwwah. Negara khilafah ‘ala minhajin nubuwwah adalah negara khilafah yang didirikan atas manhaj (metod) Rasulullah saw. Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah yang dimaksud adalah khilafah yang dijalankan dengan dalil-dalil syar’i, iaitu Alquran, Sunnah, Ijma’ Sahabat, dan Qiyas Syar’i.


Hakikat Negara Khilafah

Khilafah, secara etimologis, adalah kedudukan pengganti yang menggantikan orang sebelumnya. Menurut terminologi syar’i, khilafah bererti kepimpinan umum untuk seluruh dunia, yang menjadi hak seluruh kaum muslimin di dunia untuk menegakkan hukum syariat Islam (hukum Allah) dan mengembang dakwah Islam ke seluruh dunia.

“Kepimpinan umum” berperanan mengurus seluruh urusan yang meliputi pelaksanaan semua hukum syara’ terhadap rakyat seluruh dunia. Dari masalah akidah, ibadah, ekonomi, sosial, pendidikan, politik dalam dan luar negeri, semuanya diurus oleh khilafah Islam.

Pada teman, satu khilafah Islam adalah:
  1. Negara Islam tidak berbentuk persekutuan, commonwealth tetapi berbentuk kesatuan.
  2. Sistem pemerintahan Islam tidak berbentuk kerajaan (monarki mutlak ataupun parlimen), tidak berbentuk republik. Tetapi sistem pemerintahan Islam adalah sistem khilafah, di mana khalifah tidak seperti presiden, juga tidak seperti perdana menteri, atau raja.
  3. Sistem pemerintahan Islam juga tidak berbentuk demokrasi, teokrasi, ataupun autokrasi. Tetapi, sistem pemerintahan Islam adalah sistem khilafah yang tidak sama dengan model pemerintahan yang ada di dunia kini.
  4. Sistem pemerintahan Islam berbentuk sentralisasi, manakala pentadbiran atau birokrasinya menggunakan sistem desentralisasi.
  5. Bentuk negara Islam yang sesungguhnya juga bukanlah bentuk negara bangsa (nation-state) tetapi bentuk negara Islam adalah bentuk negara global, sebagai bentuk kesatuan umat Islam sedunia. 
Dengan wujud kilafah ini, jika terjadi sesuatu perkara, bencana dan sebagainya seperti di Gaza, seluruh ummat di bawah khilafah akan bangun. Wehdah dan kesatuan, akan menggerunkan musuh Islam seperti Israel.

Baca selanjutnya ...

Sabtu, November 17, 2012

Menjadi Chef Sekejap - Nasi Briani

Hari ini 17 Nov 2012, teman telah menuntut ilmu memasak nasi briani daging, ayam masak merah, daging masak kurma dan acar buah di Kolej Komuniti Batu Gajah Perak. Latihan memasak seperti ini belum pernah teman lakukan secara formal lebih-lebih lagi menimba ilmu dari seorang chef muda (23 tahun) yang nama baru meningkat naik. Nama chef tersebut adalah Chel Hairil yang kini mempunyai sebuah restoran sendiri di Universiti Teknologi Petronas. Jika nak tahu lebih lanjut tentang beliau beli majalah Aroma keluaran Oktober 2012. 



Apa yang mengujakan dalam sesi latihan ini, hanya teman sahaja pelatih chef lelaki yang mengambil bahagian.     Sebenarnya memang teman ni minat juga memasak jika ada peluang dan lapang. Kalau dapat pendidikan formal tentang masak, pastinya teman menjadi pesaing chef-chef ternama sekarang.
Ramuan-ramuan untuk nasi briani
Chef Hairil sedang memberi taklimat
Jom masak Nasi Briani (untuk makan 4 orang)

Bahan:

  • 3 cawan beras basmathi
  • rempah briani
  • bunga lawang, cengkih dan kulit kayu manis
  • sedikit rempah kurma
  • 3 helai daun pandan 
  • 6 ulas bawang merah blend
  • 6 ulas bawang putih blend
  • 2 inci halia blend
  • 1/2 bawang besar dihiris
  • sedikit daun pudina
  • sedikir daun bawang
  • sedikit daun sop
  • 1/2 tin minyak sapi
  • sedikit garam
  • sedikit pewarna kuning
  • gajus
  • kismis
  • setengah cawan susu cair
  • air mawar
  • 3 sudu mayonis

Cara memasak:

  • Panaskan  sedikit minyak dan masukkan minyak sapi


  • Masukkan bawang merah, bawang putih dan halia yang telah diblend ke dalam kuali.
  • Ramuan siap dihiris yang perlu diblend
  • kemudian masukkan bawang dihiris serta bunga lawang, cengkih dan kulit kayu manis serta daun pandan
Masukkan daun pandan selepas ramuan dipanas
  • Masukkan rempah briani dan sedikit rempah kurma

Masukkan rempah briani dan sedikit rempah kurma
  • Panaskan ramuan sehingga pecah minyak

Ramuan briani siap dimasak
  • Selepas beras dibasuh, campurkan beras dengan setengah tin susu cair.
  • Kemudian campurkan ramuan briani ke dalam beras.


  •  Tambahkan air secukupnya supaya nasi tidak keras atau terlalu lembik 


  •  Masukkan sedikit garam secukup rasa

  • Setelah itu on kan rice cooker.
  • Ketika air di dalam rice cooker mendidih, masukkan daging yang telah siap dihiris ke dalam periuk nasi.

Nasi siap masak
  • Setelah nasi telah masak, campurkan daun sop, daun bawang, lobak, daun pudina dan lada dihiris ke dalam periuk 


  • Tambahkan sedikit susu pekat manis

  • Tambahkan sedikit mayonis



  • Gaulkan nasi dengan ramuan yang telah dimasukkan
  • Tunggu sebentar. Setelah itu masukkan sedikit pewarna, kismis dan gajus


  • Dan terakhir, renjiskan sedikit air mawar.
Nasi tambah untuk 4-5 orang sedia dihidangkan RM 20

Di akhir sesi, teman dianugerahkan majalah AROMA kerana teman satu-satunya peserta lelaki yang belajar memasak pada sesi tersebut hehehe, terima kasih Chef Hairil.






Baca selanjutnya ...