Khamis, September 27, 2012

Alahai Pentadbir Sekolah

Baru-baru ini teman ditanya tentang sikap seorang pengetua sebuah sekolah kluster di Ipoh yang memaksa staf sokongan dan guru menghadiri ke sekolah untuk melaksanakan Program Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) dengan notis panggilan kursus hanya satu hari. Pengadu tersebut amat tidak berpuashati kerana berturut-turut 3 Sabtu pengetua tersebut menggunakan hari cuti mereka untuk berada di sekolah untuk bertugas. Kebanyakan staf di sekolah berkenaan menurut pengadu, takut kepada pengetua tersebut kerana sikap yang panas baran, menengking di khalayak, dan terlalu emosional serta kurang mesra. Bagi kaki tangan yang tidak hadir, pengetua tersebut mengarahkan kakitangan mengisi borang cuti atau mendapatkan cuti sakit dari doktor swasta.

Setelah mendengar dengan teliti cerita pengadu, teman memohon pengadu membaca:
  1. PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 13 TAHUN 2005 PELAKSANAAN LIMA HARI BEKERJA SEMINGGU JPA dan 
  2. SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL.8/2005 PERLAKSANAAN BEKERJA LIMA HARI SEMINGGU KPM 
  3. petikan akhbar di bawah yang teman lampirkan.


Pengetua wajib beri rehat untuk kurangkan beban tugas pengajar (Berita Harian 2010/06/05)

PASIR PUTEH: Pengetua dan guru besar wajib memberi rehat kepada guru pada setiap dua hari Sabtu dalam tempoh sebulan untuk mengurangkan beban tugas mereka, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata mereka tidak boleh memaksa guru-guru bertugas pada setiap hari Sabtu dengan aktiviti kokurikulum dan akademik.
Surat pekeliling mengenainya sudah dikeluarkan kepada setiap sekolah," katanya kepada pemberita selepas menutup Hari Kecemerlangan sekolah-sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh di sini semalam.

BERNAMA memetik Alimuddin berkata, pihak sekolah bagaimanapun boleh mengadakan aktiviti luar pada dua hari Sabtu setiap bulan dengan syarat merancang jadual lebih awal untuk memberi ruang guru merancang aktiviti keluarga.

Selain itu, beliau berkata, jika Sabtu jatuh pada hari kelepasan am, sekolah sama sekali tidak boleh memaksa guru bertugas.

Beliau mengulas rungutan guru yang dipaksa guru besar dan pengetua supaya mengajar kelas tambahan pada setiap Sabtu, menyebabkan mereka tiada waktu rehat secukupnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran mempertimbangkan supaya guru hanya bekerja lima hari seminggu, sama seperti penjawat awam lain.
Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan, meminta semua pengetua dan guru besar akur surat pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

Katanya, ini kerana tindakan segelintir pengetua dan guru besar yang memaksa guru mengajar kelas tambahan pada setiap Sabtu hanya merugikan pihak sekolah dan guru sendiri.

“Jika guru dikerah mengajar setiap Sabtu, ia boleh menyebabkan mereka hilang fokus akibat keletihan apabila mengajar pada minggu berikutnya.

“Keputusan supaya guru wajib diberi rehat dua hari Sabtu dalam tempoh sebulan adalah langkah yang tepat, namun NUTP tetap berpendapat guru wajib rehat pada setiap Sabtu,” katanya.

Selain itu, beliau meminta kementerian mengkaji semula Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2005 yang memberi kelonggaran kepada sekolah melaksanakan program pendidikan tidak lebih dua kali Sabtu dalam sebulan.
Pada teman la, dah jadi pentadbir ni kena pandai merancang, mengurus, memantau, menilai dan ada softskill. Kelemahan pengurus dalam aspek berkenaan menyebabkan akan kurang disegani dan dihormati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda akan disemak. Terima kasih