Hari ini anak bongsu (9 tahun) merapati teman bertanyakan bagaimana nak selesaikan SUDOKU. Buku Sudoku tersebut dijumpainya dalam bilik abangnya. Teman pun mengajarinya dengan cara yang mudah dan cara seronok untuk menyelesaikan permainan nombor tersebut. Nampaknya dia mula berminat dan dapat menyelesaikan Sudoku mudah. Pada pendapat teman, SUDOKU adalah aktiviti yang baik untuk minda dan dapat memenuhi masa lapang.
Minat anak teman tersebut terhadap SUDOKU mengingatkan teman satu peristiwa kecurian yang teman lihat sendiri di depan mata. Peristiwa itu berlaku dalam tahun 2009 di sebuah kedai buku di Jaya Jusco. Semasa itu teman menemani anak-anak mencari buku-buku rujukan. Dalam kesibukan pelanggan mencari buku untuk koleksi sendiri atau koleksi anak-anak, seorang pemuda masuk ke kedai tersebut.
Gelagatnya amat memelikkan teman. Pemuda itu berpusing ke kiri ke kanan. Tapi hanya berlegar ke depan ke belakang di rak buku-buku SUDOKU. Lantas tangannya terus mengambil sebuah buku SUDOKU tapi mata memandang ke arah orang-ramai. Kebiasaannya, bagi pembeli buku mereka akan melihat cover buku sambil memegang dan membaca buku berkenaan. Tetapi pemuda tersebut tidak memandang buku SUDOKU yang diambil. Buku berkenaan terus disisip ke pinggang di dalam baju. Beliau terus berlalu dengan laju melepasi pintu yang mempunyai alarm. Yang peliknya alarm tidak berbunyi dan pemuda tersebut terus berlalu dengan laju di celah-celah orang ramai di dalam kompleks beli belah tersebut.
Sejak peristiwa tersebut, teman tertanya-tanya.. apakah istimewanya permainan nombor SUKODU tersebut? Semasa peristiwa kecurian, teman tidak tahu permainan SUDOKU. Namun, pada satu hari dalam perjalanan ke Kinabalu. Perjalanan dari KLIA ke Kinabalu mengambil masa hampir 2 jam memang membosankan, tambahan tempat duduk dalam pesawat yang agak sempit ruangannya. Surat khabar dah baca dan khatam. Majalah terbitan MAS yang disisip pada kerusi telah habis ditinjau cara scanning. Kad langkah-langkah keselamatan dalam kabin dah banyak kali dibelek-belek. Bila lihat penumpang di sebelah, masih asyik dengan buku SUDOKU... Teman mula melihat penumpang berbangsa cina tersebut dengan penuh minat (bukan tengok orangnye..tapi tengok permainan sudokunye). Pada mulanya teman memerhatikan penumpang itu main. Lepas itu, teman menyapa dan memohon dengan rendah diri untuk mengajarkan permainan tersebut. Penumpang tersebut dengan ceria dan ramah mengajar dan memberikan buku SUDOKU untuk teman cuba selesaikan. Dengan bimbingan penumpang tersebut, beberapa set SUDOKU telah dapat diselesaikan. Memang menyeronokkan dan mengasah minda kreatif dan menajamkan minda membuat keputusan. Terima kasih cikgu Sudoku.
Pada hari ini, anak teman mahu belajar SUDOKU, teman telah menurunkan ilmu itu kepada anak teman pula. Ke sana ke mari dibawanya buku SUDOKU. Semoga hikmah diperolehi di sebalik SUDOKU seperti minda sentiasa berfikir, berfikir dengan kreatif, belajar membuat keputusan yang tepat dan menghormati masa senggang. Kawan-kawan teman bertanya kepada teman, di mana buku sudoku teman? Teman kata sudoku teman dalam handset, kan zaman ini adalah zaman generasi Y, tak main le bawak buku-buku atau hardcopy. Tapi nasihat teman, jangan sesekali mencuri SUDOKU atau lain-lain barang, walaupun tujuannya baik. Matlamat tidak menghalalkan cara. Bagi yang nak belajar sudoku cara online pi la ke: http://www.websudoku.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen anda akan disemak. Terima kasih