Sabtu, Disember 03, 2011

Ubat KK Untuk Sakit Lutut

Teman selalu buat satu analogi di dalam kuliah tentang cerita seorang doktor dalam sebuah desa. Satu hari doktor didatangi oleh 3 orang pesakit bernama Pak Ali, Pak Abu dan Pak Samad. Mula-mula Pak Ali masuk ke dalam bilik doktor. Apabila ditanya oleh doktor tersebut tentang masalah Pak Ali, beliau menjawab "saya dah seminggu sakit pinggang". Lalu doktor memberi ubat KK (Paracetamol atau selalu dikenali oleh orang kampung panadol). Kemudian Pak Abu pula masuk berjumpa doktor. Pak Abu memberitahu dia dah seminggu sakit lutut. Doktor pun memberi Pak Abu ubat KK juga. Kemudian Pak Samad pula masuk berjumpa doktor. Beliau mengadu telah demam 2 hari. Doktor dengan senang hati memberi ubat KK juga.

Jika anda adalah pemerhati kepada tingkahlaku doktor berkenaan, sudah tentu anda akan memberi komen yang negatif kepada doktor tersebut. Macam-macam kata-kata nista dan kutukan akan terhambur di mulut kita. Agak-agaknya dari ketiga-tiga pesakit tersebut, siapakah yang akan mendapat kesan positif dari ubat KK yang diberi?....Jawapan anda sudah tentulah Pak Samad...kerana sesuai penyakit dan ubat. 

Itu adalah satu analogi yang digambarkan melalui satu scenario kampung.

Sekarang kita tinjau pula tindakan pendidik di dalam kelas mereka? Apakah mereka telah membuat analisis  keperluan dan gaya pembelajaran anak-anak didik semasa mereka menyampaikan ilmu pengetahuan dalam kelas? Jika mereka menggunakan satu pendekatan sahaja, tanpa mengambil kira keperluan dan gaya pembelajaran, maka sama lah pendidik tersebut dengan doktor kampong yang memberi ubat KK tanpa mengambil kira penyakit.

Sedangkan di menara gading, ilmu pedagogi dan ilmu psikologi dikaji dan dihayati....tetapi kenapa di sekolah secara realiti...ilmu itu diketepi. Alasan yang selalu diberi adalah silibus, arahan GB, arahan PPD arahan JPN dan sebagainya. Akhirnya 70 peratus pelajar dalam kategori 'sederhana' menjadi mangsa.

Ilmuan selalu meminta para pendidik melihat gaya belajar seperti Model VAK (visual, audiotori, kinestatik). Berapa orang pendidik menganalisis kecenderungan pelajar dari aspek VAK ini. Berapa orang pendidik telah menilai potensi anak didik mereka berdasarkan  kecerdikan kepelbagaian semasa mereka menyampaikan pengajaran? Apa yang pasti, hari - hari mereka menggunakan pendekatan yang sama kerana matlamat mereka adalah menghabiskan silibus. Jadi, malanglah bagi anak-anak yang kreatif (dalam pelbagai aspek kecerdasan) tidak dapat dicungkil potensi diri mereka secara optimum tetapi yang mendapat manfaat adalah segelintir pelajar yang dapat menyesuaikan diri dengan pendekatan yang diamalkan tersebut.

p/s agak-agaknya la... ini mungkin salah satu faktor ramai pelajar perempuan di IPTA...sebab pendekatan P&P yang selalu digunakan itu memang sesuai kepada sebahagian besar pelajar tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda akan disemak. Terima kasih